Politik

Mohd Shukri Ramli dijangka pimpin “Perlis Baharu” sebagai Menteri Besar

SELESAI tugas Perikatan Nasional (PN) menawan Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), urusan mengisi kekosongan kerusi Menteri Besar juga tidak boleh ditangguhkan lagi.

Suara Merdeka difahamkan sepatutnya majlis watikah pelantikan Menteri Besar diadakan pada petang ini terpaksa ditangguh atas sebab tertentu di mana akan ditunda ke esok hari.

Sekaligus siapa bakal mengepalai “Perlis Baharu” semakin bertiup kencang dan sudah pastinya Pengerusi PN Negeri, Mohd Shukri Ramli disebut-sebut kerana setakat ini beliau dilihat sebagai calon paling layak untuk jawatan ini.

Tambahan pula sebelum ini PN Pusat telah berjanji jawatan ini akan diberikan kepada Pas jika berjaya menawan Perlis.

Sementara itu Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya Tinggi Pas Perlis ini juga telah tiga penggal mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang.

Bekas guru ini berusia 66 tahun ini berjaya mencatatkan rekod cemerlang apabila PN negeri ini menyapu bersih tiga Parlimen dan 14 dari 15 DUN pada PRU kali ini.

Namun setakat ini Mohd Shukri enggan mengesahkan bahawa beliau akan memegang jawatan ini.

Mohd Shukri yang pernah ditemui Suara Merdeka sebelum ini pernah memaklumkan beliau sebenarnya lebih suka jika jawatan ini diberikan kepada orang muda.

Malah katanya, bagi urusan pemilihan calon Menteri Besar, beliau telah menghantar kesemua biodata sembilan calon Pas termasuk dirinya ke Pusat.

“Pusat yang akan membuat pilihan siapa yang dikehendaki,” katanya.

Kata Mohd Shukri, jika Pusat memilih beliau maka akan akur.

Sebelum ini dua calon Pas yang disebut-sebut untuk jawatan ini adalah calon DUN Guar Sanji, Ustaz Ridzuan Hashim dan calon DUN Santan, Ustaz Azmir Azizan. – SM

(Visited 755 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button