Nasional

52 lagi kilang, premis perniagaan diarah tutup

SEBANYAK 52 premis merangkumi kilang, premis perniagaan dan tapak binaan diarah tutup semalam.

Pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang melakukan penguatkuasaan semalam mendapati premis tersbeut telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 85,123 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara semalam dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,891 orang.

“Ia termasuk pemeriksaan ke atas 2,226 buah kilang, 14,916 premis perniagaan, 1,005 tapak pembinaan dan 321 buah asrama penempatan pekerja.

“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 52 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.


Sementara itu, lima lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 12 JUlai hingga 25 Julai.

Kesemuanya lokaliti terbabit terletak di Sabah iaitu QL Farm, Membalua, Tawau; Kampung Pikat, Bongawan, Papar dan Kampung Suang Parai, Taman Kingfisher Sulaman dan Bandaran Berjaya, Kota Kinabalu.

PKPD Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud, Sabah yang sepatutnya tamat pada 11 Jun dilanjutkan sehingga 25 Julai.

Dalam pada itu PKPD di bandar Jerantut, Pahang; Kampung Tuunon, Penampang; Kampung Tawadakan dan Kampung Kota Bungan di Kota Belut dan Kampung Perpaduan Ria 1, Kudat, Sabah ditamatkan bermula esok.

PKPD lima lokaliti di Kuala Lumpur turut ditamatkan iaitu Flat Seksyen 2 dan Flat Seksyen 1 di Wangsa Maju; Kampung Puah,Titiwangsa; Flat Desa Pandan termasuk Baiduri dan Delima, Kampung Batu Muda dan Taman Koperasi Polis Fasa 1.

“Semalam, 417 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, seramai 408 individu dikompaun manakala sembilan lagi direman,” kata Ismail Sabri.

Kesalahan direkodkan adalah rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis (96), tidak memakai pelitup muka (74), tiada penjarakan fizikal (58).

Tidak patuh arahan kawalan pergerakan (46), membawa penumpang berlebihan (34), premis gagal patuhi arahan (12), majikan gagal memastikan kapasiti kehadiran pekerja/menjalani ujian saringan (6) dan lain-lain (91).-SM

 

 

(Visited 53 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button