Nasional

Raja Permaisuri Agong terima darjah kebesaran tertinggi Selangor

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerima darjah kebesaran tertinggi Selangor, Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (D.K) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke-78, hari ini.

Tunku Azizah mendahului 97 senarai pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Sharafuddin di Istana Alam Shah Alam, di sini.

Keberangkatan Sultan Sharafuddin ke Balairung Seri Istana Alam Shah diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Pada Istiadat itu, Sultan Sharafuddin berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Selangor Kedua (D.K.II) kepada Ahli Dewan di-Raja Selangor yang juga Orang Besar Istana, Tengku Datuk Putra Tengku Azman Shah.

Baginda berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain dan Pengarah Urusan YTL Power International Berhad, Datuk Yeoh Seok Hong.

Dua individu menerima Darjah Kebesaran Dato’ Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S) daripada baginda ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim dan Pakar Perunding Urologi Pusat Perubatan Subang Jaya, Profesor Datuk Dr Tan Hui Meng.

Sementara itu, sembilan individu dikurniakan Darjah Kebesaran – Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) termasuk Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan; Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Datuk Dr Nooh Gadot juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim.

Turut menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk itu ialah Duta Besar Malaysia ke Jerman, Dr Adina Kamarudin; Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia, Datuk Collin Lawrence Sequerah; Timbalan Pengerusi Berjaya Land Berhad, Datuk Seri Robin Tan Yeong Ching; Naib Presiden dan Ketua Pengarah Eksekutif United Plantations Bhd, Datuk Carl Bek-Neilsen dan Pengurus Besar Royal Selangor International Sdn Bhd, Yong Yoon Li.

Seramai 13 individu pula dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk – Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) membawa gelaran Datuk termasuk Panglima 10 Briged (PARA), Mejar Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal; Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Fazal Abdul Rahman dan Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Khir Junaidi Idris.

Turut menerima Darjah Kebesaran D.S.I.S adalah Datuk Bandar Subang Jaya, Mohd Fauzi Mohd Yatim; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Noraini Roslan; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor, Dr Yusri Zakariah; Timbalan Mufti Negeri Selangor, Prof Madya Dr Miszairi Sitiris dan Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat.

Penerima D.S.I.S lain termasuk Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff; Ketua Pegawai Eksekutif Ekuiti Nasional Berhad, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir; Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif SP Setia Berhad, Philip Tan Puay Koon; Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Sime Darby Property Berhad, Rizal Rickman Ramli dan Ketua Pegawai Kandungan Star Media Group Berhad, Esther Ng Sek Yee.

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail serta Pakar Perubatan Patalogi Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Dr Nur Ayutimasery Abdullah antara 15 penerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (S.M.S) yang tidak membawa apa-apa gelaran.

(Visited 89 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button