Nasional

15,008 individu jalani kuarantin wajib dibenar pulang ke rumah

SERAMAI 15,008 individu yang pulang dari luar negara dan telah menjalani kuarantin wajib dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ahmad Sabri Yaakob berkata, sejak 24 Julai sehingga semalam seramai 24,961 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 67 hotel dan 4 Institut Latihan Awam (ILA)  serta Institusi Pengajian Swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,887 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 66 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 15,008 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, kesemua mereka telah pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja,
Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia telah menahan 72 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

Daripada jumlah itu, seramai 70 individu telah dikompaun, seorang direman dan seorang dibenarkan ikat dijamin.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (24), penjarakan fizikal (26), tidak memakai pelitup muka (20), lari dari pusat kuarantin (1) serta premis beroperasi lebih masa (1).

Sebanyak 3,031 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 12,118 anggota telah membuat pemantauan di 3,933 pasar raya, 4,659 restoran serta 1,398 penjaja, 1,192 kilang, 3,737 bank dan 1,013 pejabat kerajaan. Juga dipantau, sebanyak 1,133 terminal pengangkutan darat, 213 terminal pengangkutan air serta 109 terminal pengangkutan udara.

Ismail Sabri turut memaklumkan, Operasi Benteng telah berjaya melakukan 14 tangkapan melibatkan 25 pendatang asing tanpa izin dan seorang penyeludup.

Menurut beliau, sebanyak 79 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan
Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).-SM

(Visited 118 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button