fbpx
Nasional

Anak-anak kapal yang tiba dari China perlu diperiksa rapi

KESATUAN Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM) menggesa pegawai kesihatan di pelabuhan menjalankan pemeriksaan lebih ketat terhadap anak kapal yang tiba dari China.

Setiausahanya, Zaini Nordin, berkata langkah itu untuk mencegah koronavirus baharu merebak kepada pekerja pelabuhan Malaysia.

“Jabatan Laut perlu mengarahkan pegawai kesihatan pelabuhan melakukan pemeriksaan ke atas anak kapal dari wilayah di China yang dilanda koronavirus baharu.

“Hanya pegawai kesihatan pelabuhan boleh masuk ke dalam kapal dan melakukan pemeriksaan,” katanya ketika ditanya langkah pencegahan yang boleh diambil pihak berkuasa pelabuhan Malaysia untuk mencegah penyebaran virus itu.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, pegawai kesihatan pelabuhan tempatan harus menjalankan kempen mendidik pekerja mengenai virus itu dan penyakit berjangkit lain yang boleh disebarkan melalui anak kapal.


“Pihak berkuasa kesihatan harus mengedarkan risalah mengenai wabak koronavirus baharu kepada pekerja pelabuhan di seluruh negara untuk menimbulkan kesedaran mengenai penyakit itu, supaya mereka lebih berhati-hati,” katanya.

Zaini turut melahirkan penghargaannya terhadap usaha kerajaan menangani virus itu seperti saringan kesihatan terhadap penumpang di lapangan terbang dan langkah sama perlu diperluas kepada anak kapal yang tiba di pelabuhan.

Koronavirus pertama kali dilaporkan pada 31 Disember 2019 di Wuhan, China, pada awalnya ia disebarkan antara haiwan kepada manusia kini ia dikatakan boleh dijangkiti antara manusia kepada manusia.

Menurut laporan berita, Malaysia di tangga ketiga di kalangan negara Asia dari segi kesediaan menghadapi wabak penyakit.

Indeks Keselamatan Kesihatan Global (GHS) dikeluarkan pada Oktober lalu menyenaraikan Malaysia di tangga ke-18 daripada 195 negara dianggap paling bersedia untuk menangani pandemik. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button