Mahkamahpilihan

Suami isteri dituduh pecah amanah, sorok wang hampir RM50,000

Bekas pengarah sebuah syarikat hemodialisis dan suaminya didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan berasingan, melakukan pecah amanah dan menyembunyikan wang bernilai hampir RM50,000, tiga tahun lalu.

Tertuduh Zanariah Apit, 52, dan Saifuddin Mohamad, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut pertuduhan, Zanariah yang diamanahkan dengan wang tunai RM49,200 milik Haemodoalysis Yakin Jaya, didapati melakukan pecah amanah iaitu dengan menyalahgunakan wang berkenaan di Taman Peringgit Jaya pada 11 Februari 2020, antara jam 9 pagi hingga 5 petang.

Dia dituduh mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, suaminya didakwa menyembunyikan suatu harta melalui akaun Maybank miliknya iaitu wang dipindah daripada Haemodialysis Yakin Jaya berjumlah RM49,200, pada tarikh sama di Jalan Hang Tuah.

Tertuduh pada masa itu mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa harta itu diperoleh dengan cara penyelewengan dan didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Ehsan Nasaruddin, manakala tertuduh diwakili peguam Jeffri Jaafar.

Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM3,000 dan perbicaraan ditetapkan pada 15, 21 dan 22 Mac depan.- SM

(Visited 123 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button