Nasionalpilihan

Sambutan Krismas di Kampung Portugis meriah

Penduduk Melaka berketurunan Portugis di Ujong Pasir dekat sini menyambut Krismas dengan penuh kemeriahan dan kegembiraan berbanding tiga tahun sebelum ini.

Sambutan kali ini mereka tidak lagi dibelenggu rasa risau dan was-was apabila kes pandemik Covid-19 di negara ini khususnya di negeri ini semakin berkurangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Portugis, Marina Danker berkata, sambutan kali ini menyaksikan lebih ramai anak-anak yang berada di luar negeri ini pulang untuk menyambut krismas.

Menurutnya, tiga tahun lalu kes Covid-19 yang masih belum reda jelas telah menyuramkan suasana perayaan itu sehingga anak, menantu, saudara-mara enggan pulang untuk menyambut perayaan itu.

“Namun tahun ini sambutan krismas di Kampung Portugis sangat meriah apabila seluruh ahli keluarga berada di luar kembali ke kampung halaman.

“Suasana meriah ini dirasakan apabila kira-kira 1,400 penduduk menghias rumah masing-masing dengan lampu kelip berwarna-warni digantung di rumah-rumah, kalungan bunga dan dekorasi yang menarik.

“Lihat sahaja malam tadi, hampir 10,000 pengunjung membanjiri Kampung Portugis sejak pukul 6.00 petang hingga pukul 2.00 pagi. Laluan di Ujong Pasir berlaku kesesakan teruk kerana kehadiran ramai pengunjung,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Marina berkata, bagi masyarakat Portugis yang sudah bertapak sejak 600 tahun lalu masih mengekalkan tradisi nenek moyang sehingga hari ini.

Katanya, tidak ada sebarang kelainan sambutan itu seperti tradisi kunjung berkunjung, makanan tradisional dan hiasan rumah serta makan besar dalam kalangan ahli keluarga masih terus dikekalkan.

Moses Hendricks bersama Margaret Hendricks di Kampung Portugis, Ujong Pasir, Melaka.

Bagi seorang lagi penduduk Moses Hendericks, 60, berkata, sambutan kali ini paling meriah dan menyeronokkan kerana tiada lagi rasa risau mengenai wabak Covid-19.

Katanya, tahun lalu dia tidak membuat persiapan seperti menghias rumah dengan pelbagai jenis lampu kerana bimbangkan wabak tersebut yang ketika itu masih belum reda sepenuhnya.

“Namun tahun ini kes makin berkurangan dan kita tidak digalakkan memakai pelitup muka. Saya berbelanja RM2,000 menghias rumah dengan pelbagai dekorasi,” ujarnya yang tinggal bersama ibunya, Margaret Hendricks berusia 88 tahun. – SM

(Visited 269 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button