Nasional

11 tempat pembiakan virus JE dikesan JKN Kedah

TERDAPAT 11 tempat pembiakan nyamuk Culec Tritaenioryhncus dan Culex Sitiens yang berpotensi menyebarkan virus Japanese Encephalitis (JE) di kesan di lokaliti wabak di daerah Kota Setar, hasil kajian entomologi Jabatan Kesihatan Kesihatan (JKN) Kedah.

Pengarahnya, Dr Othman Warijo berkata, penemuan itu adalah pencapaian aktiviti kawalan yang dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar dan JKN Kedah sejak 25 November lalu sehingga semalam bagi mengekang penyebaran virus berkenaan.

Menurutnya, menerusi pengesanan kes secara aktif (ACD) di sekitar kawasan terbabit, seramai 674 daripada 2,926 orang atau 23 peratus penduduk di kedua-dua lokaliti sudah disaring dan didapati tiada penduduk yang bergejala.

“Sehingga semalam hari ke lapan wabak, kes JE kekal dua kes. Dalam usaha menghapuskan tempat pembiakan nyamuk, sebanyak 291 atau 70.6 peratus daripada premis dalam 400 meter radius dari rumah pesakit sudah diperiksa.

“Semasa pemeriksaan, 14 bekas pembiakan nyamuk ditemui dan sebanyak 672 ml Abate 500E BTI digunakan untuk aktiviti larvasiding (iaitu penggunaan secara berkala bahan untuk membunuh jentik-jentik).


“Semburan ruang termal telah dilakukan pada 25 dan 26 November lalu membabitkan 412 premis iaitu 100 peratus.

“Semburan ruang ULV juga sudah dilakukan pada 25 dan 27 November lalu membabitkan 912 premis,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Ahad lalu, JKN Kedah telah mengisytiharkan wabak JE di Kota Setar selepas mengesan dua kes pada November.

Pada 18 dan 25 November lalu, dua kematian baharu dilaporkan di Kota Setar iaitu di Jalan Pegawai dan Jalan Tanjung Bendahara, yang mana mangsa adalah golongan dewasa

Mengulas lanjut, Dr. Othman berkata, siasatan mendapati, tiada ladang penternakan khinzir berdaftar atau tidak berdaftar di sekitar lokaliti wabak.

Menurutnya, tinjauan yang dilakukan di sepanjang sungai berdekatan dengan lokaliti wabak menggunakan dron tidak menemui sebarang lokasi berisiko kecuali kehadiran burung hijrah di kawasan bendang.

Selain itu, beliau juga berkata, tiada aduan penduduk tentang kehadiran khinzir liar atau babi hutan di sekitar kedua-dua lokasi kediaman pesakit.

“Jabatan Perhilitan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan PKD Kota Setar juga sudah mengenalpasti lokasi untuk penangkapan burung hijrah bagi ujian PCR virus JE,” katanya.

Tambahnya, antara tindakan lain yang diambil pihaknya adalah mengedarkan risalah promosi kesihatan kepada semua penduduk yang tidak dapat ditemui dan hebahan pendidikan kesihatan menerusi kumpulan WhatsApp penduduk.

“Penduduk dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan segera jika mengalami tanda demam, sakit kepala dan muntah.

“Untuk mencegah penularan penyakit JE, jabatan ini menyeru seluruh masyarakat di Kota Setar melaksanakan langkah-langkah pencegahan dengan mengelakkan gigitan nyamuk menggunakan repelan dan memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang berwarna cerah apabila berada di luar rumah.

“Selain itu, masyarakat disarankan membuat semburan dalam rumah menggunakan semburan aerosol sekitar jam 10 malam bagi membunuh nyamuk dewasa selain membersihkan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di kediaman dan premis masing-masing,” katanya.-SM

(Visited 23 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button