Nasional

Berita palsu ini sangat jahat – Ismail Sabri

MENTERI Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan penyebaran sebuah berita palsu kononnya beliau berkata, rakyat Singapura tidak dialu-alukan datang ke Johor Bahru sebagai sangat jahat.

Berita palsu yang disebarkan oleh pengguna Facebook bernama Sha Jalil itu, mendakwa kononnya Ismail Sabri berkata, rakyat Singapura tidak dialu-alukan jika hanya datang untuk menambah petrol, membasuh kereta, makan malam atau membeli barang dapur.

“Saya sendiri pun menjadi mangsa kepada penyebaran berita palsu yang kononnya tidak mengalu-alukan kedatangan rakyat Singapura ke Malaysia.

“Ini boleh mengeruhkan hubungan antara negara kita dengan negara Singapura. Sedangkan keadaan sebenarnya negara kita masih menutup pintu kepada semua warga asing untuk masuk ke negara kita termasuk dari Singapura.

“Ini satu berita yang sangat jahat dan lebih-lebih lagi ucapan saya dialih suara. Tindakan jahat ini boleh mengeruhkan hubungan antara Malaysia dan Singapura,” kata Ismail Sabri.

Menurutnya, beliau telah membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat

Sehingga hari ini sebanyak 266 kertas siasatan telah dibuka oleh PDRM dan SKMM berhubung berita palsu berkaitan Covid-19.

Daripada jumlah ini sebanyak 179 masih dalam siasatan manakala 30 kes telah didakwa di mahkamah, 11 diberikan notis amaran dan 18 telah mengaku bersalah.

Sebanyak 332 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19.

Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya dan boleh menyalurkan maklumat kepada PRP di talian 03-8911 5103 atau layari www.sebenarnya.my untuk menyemak kesahihan berita.-SM

(Visited 339 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button