fbpx
Politik

Timbalan Ketua Wanita PKR keluar parti

Timbalan Ketua Wanita PKR, Dr Daroyah Alwi hari ini mengumumkan keluar daripada PKR dan melepaskan semua jawatannya dalam parti tersebut.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sementa dan Timbalan Speaker DUN Selangor berkata, dia meninggalkan parti itu kerana tidak mempercayai kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR.

“Saya mengumumkan hari ini perletakan jawatan saya sebagai Ketua Wanita PKR Selangor berkuatkuasa hari ini 13 Jun 2020.

“Keputusan ini dibuat kerana saya sudah hilang rasa yakin dan percaya kepada Presiden dan pimpinan parti tentang hala tuju dan idealisme perjuangan parti ini.

“Hala tuju parti kini lebih kepada perpecahan dan pentaksubnya juga gagal menjalankan amanah yang diberi,” katanya lagi.


Daroyah berkata, ketika ini beliau akan menjadi ADUN Bebas dan mesra kepada kerajaan hari ini.

Dr Daroyah turut disertai 13 lagi pimpinan Wanita Keadilan Selangor yang juga bertindak meninggalkan PKR hari ini.

“Pimpinan Wanita Selangor yang bersama saya petang ini terdiri daripada Ahli-ahli Majlis Pimpinan Keadilan Selangor, Ketua-ketua Wanita Cabang, Ahli-ahli Majlis Berkuasa Tempatan, serta pelbagai pimpinan akar umbi.

“Kami berasa amat terkesan apabila rakan-rakan pimpinan dan seperjuangan di segenap lapisan yang selama 21 tahun ini jerih-perih berjuang bersama dengan keringat dan air mata demi mengangkat idealisma Keadilan, sewenang-wenangnya dikenakan tindakan hanya kerana perbezaan pendapat,” katanya lagi.

Daroyah sebelum ini dilihat merupakan antara penyokong bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Mohamad Ali.

Dalam satu kenyataan media pada 7 Mac lalu Daroyah menyeru agar ahli-ahli PKR bersatu padu.

“Membujur lalu melintang patah, saya mengumumkan pendirian untuk terus komited dan kekal setia memperjuangkan idealisme perjuangan reformasi bersama PKR,” katanya pada waktu itu-SM

 

(Visited 4 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button