NegeriTravel

Pilih Perlis sebagai venue temasya sukan – Raja Muda

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mempelawa agensi-agensi kerajaan, swasta, Persekutuan dan persatuan sukan kebangsaan menimbangkan untuk memilih Perlis sebagai antara venue temasya sukan tahunan di sepanjang tahun 2024 hingga 2026 ini.

Baginda bertitah, gunakan peluang ini bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 dan juga Tahun Melawat Malaysia 2026.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan dipersembahmaklum mengenai projek menaiktaraf Stadium Tuanku Syed Putra yang disinggah semasa mengetuai program Kayuhan MAIPs Peduli sekitar Behor Empiang, Kangar.

“Selain segala kemudahan yang terdapat di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra Kangar yang dikendalikan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN), Perlis juga mempunyai institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), UiTM Perlis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kangar yang mempunyai pelbagai fasiliti sukan dan boleh juga menjadi perkampungan atlet bagi penyertaan besar khususnya di musim percutian pelajar,” titah Baginda.

Demikian titah Raja Muda selepas berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Stadium Tuanku Syed Putra, kolam renang dan beberapa fasiliti sukan yang lain di Kangar.

Beberapa projek pembangunan dan penambahbaikan sedang berjalan dalam usaha menyediakan fasiliti dan kemudahan yang terbaik khususnya sebagai persiapan untuk atlet negeri ini mengambil bahagian dalam temasya seperti Sukan Malaysia.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bergambar dengan kanak-kanak semasa mengetuai program Kayuhan MAIPs Peduli sekitar Behor Empiang, Kangar.

Kunjungan tersebut adalah sebahagian daripada aktiviti tambahan sempena Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Behor Empiang, Kangar anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Program ini turut disertai oleh ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri serta Persekutuan dalam usaha menoktahkan kemiskinan dan menyantuni golongan yang memerlukan di Perlis.

Keberangkatan Baginda disambut oleh Exco Kerajaan Negeri Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, Wan Zikri Afthar Ishak dan Pengarah Majlis Sukan Negeri, Mohd Azraai Zain Tusimin serta warga kerja MSN Perlis.

Turut hadir bagi mempersembahkan taklimat ialah Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis, Muhammad Suhaimi Jamel dan Setiausaha Kehormat Persatuan Olahraga Amatur Perlis, Iyaru Muthusamy yang memaklumkan bahawa projek menaiktaraf dan penambahbaikan sedang dijalankan di Stadium Tuanku Syed Putra yang dulunya dikenali sebagai Stadium Utama.

Antaranya termasuklah penggantian bumbung baru, penggantian tempat duduk astaka, pembaikan trek balapan yang telah siap pada tahap 86 peratus dan dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung April ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengurniakan sumbangan zakat MAIPs kepada salah seorang asnaf semasa mengetuai program Kayuhan MAIPs Peduli sekitar Behor Empiang, Kangar.

Sempena program kali ini Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs berupa wang tunai sebanyak RM700, bantuan Kits MAIPs Peduli, beras fidyah dan juga kipas angin bagi menampung keperluan harian para penerima.

Asnaf yang terpilih pada edisi kali ini adalah Mohd Razak Kamis, 73 dari Kampung Behor Empiang, Mohamad Nizam Mat Saad, 46 dari Kampung Pondok dan Muhamad Abu Seman, 73 dari Kampung Kechor. – SM

(Visited 72 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button