Politik

Zuraida sah sertai PBM, dilantik ‘pengganti presiden’

AHLI Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin sah menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) selepas parti itu menerima permohonan keahlian beliau hari ini.

Presiden PBM Larry Sng berkata, Zuraida turut diangkat sebagai pengganti presiden (president-designate) bagi memacu pembangunan dan perkembangan parti itu pada masa akan datang.

“Majlis Tertinggi Parti Bangsa Malaysia akan bermesyuarat sekali lagi dalam masa terdekat untuk menyusun semula perlembagaan parti bagi membolehkan proses transisi kepimpinan ini berjalan dengan lancar dan teratur,” katanya.

Sng berkata, Zuraida merupakan pemimpin berwibawa dan berpadanan dengan aspirasi PBM yang menginginkan perubahan holistik dalam membentuk Malaysia menjadi sebuah negara maju.

“Dengan keputusan ini kita berharap PBM akan lebih berupaya untuk meningkatkan lagi politik khidmat bakti demi membantu rakyat Malaysia mendapatkan kehidupan lebih baik,” katanya.


Dalam pada itu, ketika diminta mengulas penyertaannya dalam PBM Zuraida berkata, beliau komited menjalankan amanah yang diberikan sebaik mungkin.

“Insya-Allah saya akan berkhidmat di mana saja diletak dan akan pastikan PBM cukup relevan dalam negara. PBM sudah gariskan enam tunjang yang bertepatan dengan Malaysia,” katanya.

Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, beliau belum bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan kedudukannya dalam Jemaah Menteri.

“Belum dapat tarikh sebab perdana menteri sibuk. Sekarang beliau di Kedah jumpa Sultan Kedah. Saya masih menunggu,” katanya.

Sementara itu, Sng mengesahkan PBM sudah memulakan usaha untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

Katanya, PBM sudah menyuarakan hasrat ingin menyertai gabungan politik itu dan surat permohonan rasmi untuk menyertai BN akan dihantar tidak lama lagi.

“Ini (permohonan menyertai BN) adalah satu proses yang kami sudah mulakan. Kita perlu menunggu jawapannya dan beri sedikit masa untuk mereka mempertimbangkan dan berbincang,” katanya. – FMT – SM

(Visited 122 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button