Politik

UMNO jangan jadi Nokia

MELIHAT kepada tragedi malang yang menimpa Nokia mengingatkan kita tentang satu perkara.

Nokia yang dahulunya gah dan terkenal di seluruh dunia sebagai jenama telefon bimbit yang paling popular akhirnya tenggelam dan menjadi tidak relevan sekarang.

Biarpun Nokia telah melalui beberapa fasa perubahan sehingga menjadi telefon pintar seperti yang ada pada hari ini, namun, ia tetap tidak diminati ramai, Nokia dilihat gagal mengembalikan zaman kegemilanganya sewaktu ketika dahulu.

Kekuatan sesuatu produk tidak terletak 100 peratus kepada jenamanya, ia juga turut bergantung juga kepada sistem operasi yang digunakan.

Dan semasa dunia ketika itu sedang sibuk dengan telefon pintar yang menggunakan Android dan iOS, Nokia tetap berdegil mahu mengekalkan Symbian.

Keadaan sama dapat dilihat dalam UMNO, parti itu tetap berdegil, UMNO sewajarnya perlu belajar daripada sejarah kejatuhan Nokia dan mengambil kira faktor-faktor penyebab kejatuhanya.

Ini kerana, jika UMNO mahu kekal relevan, kedegilan untuk mengekalkan pemimpin lama harus dibuang.

Dalam suasana politik yang tidak menentu hari ini, UMNO perlu terus menawarkan pemimpin muda yang berkaliber, berambisi dan bervisi.

Sebagai contoh, Shahril Sufian Hamdan yang sangat menonjol menjuarai isu ekonomi telah dilihat sebagai ikon yang berkualiti untuk dijadikan idola anak muda.

Kita berterima kasih kepada UMNO kerana melantik Naib Ketua Pemuda parti itu sebagai Ketua Penerangan UMNO yang baharu bagi menggantikan Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang dilantik menjadi Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Walau bagaimanapun, UMNO tidak boleh berhenti setakat itu sahaja, parti itu perlu melahirkan lebih ramai lagi individu seperti Shahril Sufian dan kedepankan mereka.

Janganlah terus berdegil dengan mengekalkan muka-muka lama, tawaran baharu harus dibuat untuk menarik golongan muda cenderung ke arah UMNO.

UMNO kena sedar bahawa orang muda memerlukan “knight in shining armor” dalam keadaan sekarang ini.

Jika pemimpin UMNO betul-betul mengamati dan menerima maklum balas yang telus dan jujur daripada pemimpin peringkat negeri dan ke bawah, ramai sahaja di kalangan pemuda UMNO itu sendiri yang berkaliber, bijaksana dan mempunyai aura kepimpinan tetapi sayangnya mereka ini disenyapkan.

Sedangkan parti lain umpama DAP mengangkat orang muda, UMNO masih tetap berdegil dengan orang lama.

Justeru, sebagai orang muda yang sayangkan parti, UMNO dinasihatkan untuk terus mengetengahkan individu yang hebat, berambisi, dan bervisi sebagai tawaran kepada rakyat Malaysia khususnya orang muda.

Kita memerlukan kesegaran dalam dunia politik tempatan dan UMNO perlu segera melakukanya jika mahu terus kekal relevan.

Jika bukan hari ini, bila lagi? Buanglah kedegilan, keegoan dan kedengkian demi menyelamatkan parti ini daripada terkubur sekali gus jangan diulang sejarah yang menimpa Nokia dan beradaptasilah demi kelansungan.

Tidak salah berubah dan berkorban untuk kebaikan parti, yang salah itu tidak mahu berubah kerana kesedapan memegang kuasa.

Jika kata si muda tidak tahu apa-apa, ajar dan didiklah mereka tetapi jika si tua masih gilakan kuasa, harus ditalqin telinga mereka. – SM

(Visited 323 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button