Politik

Zahid harap ‘rakan’ fikir kepentingan pertahan MN yang asli

PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta rakan politik UMNO dalam Muafakat Nasional berfikir dengan jelas kepentingan untuk mempertahankan Muafakat Nasional yang asli.

Dalam satu kenyataan, Ahmad Zahid Hamidi meminta rakannya dalam Muafakat Nasional itu untuk belajar kegagalan Angkatan Perpaduan Ummah dan Semangat 46 suatu ketika dulu.

“Justeru, saya berharap rakan politik UMNO dalam Muafakat Nasional berfikirlah sejelas-jelasnya mengenai kepentingan untuk mempertahankan gagasan Muafakat Nasional yang asli.

“Belajarlah daripada kisah Angkatan Perpaduan Ummah dan Semangat 46 dahulu yang semuanya gagal kerana gabungan politik dibentuk tidak jujur dan genuine,” kata Ahmad Zahid.

Muafakat Nasional yang asal digerakkan oleh parti Pas dan UMNO sebelum disertai oleh Bersatu selepas pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional.


Gagasan tersebut telah dicetuskan hasil daripada Piagam Muafakat Nasional yang dimeteraikan antara dua parti politik Melayu Islam terbesar di Malaysia tersebut semasa Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September 2019.

Walaupun Ahmad Zahid tidak menyatakan rakan yang dimaksudkan namun ia dipercayai merujuk kepada parti Pas selepas UMNO membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Ahmad Zahid berkata, UMNO serius dalam memperkukuhkan Muafakat Nasional yang ditubuhkan pada 2019.

“Jika kita toleh sejenak ke belakang kita tidak akan terlupa betapa bukan mudah menyatukan ummah dibawah gagasan Muafakat Nasional ketika itu.

“Namun syukur allhamdulillah pemeteraian Piagam Muafakat Nasional yang tulen berlangsung di Dewan Merdeka, dewan utama Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September 2019,” katanya.

Menurut beliau, Muafakat Nasional yang asli telah melakar banyak kejayaan termasuk kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dan bersama memperjuangkan kepentingan rakyat.

Muafakat Nasional yang sebenar itu telah mendapat momentum keyakinan rakyat pelbagai bangsa dan agama. Rakyat sangat positif terhadap apa yang boleh ditawarkan oleh Muafakat Nasional yang asli.

“Mereka percaya kepada Muafakat Nasional yang itu, bukan yang ini. Kerana sinergi yang terbentuk antara UMNO dan rakan partinya dalam sebuah gabungan penuh tulus ikhlas,” katanya.-SM

(Visited 97 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button