BeritaPolitik

Fuziah cuba ‘menangguk di air keruh’

PEMUDA UMNO kesal dengan sikap segelintir pihak yang terus mempertikaikan tindakan tegas kerajaan negeri Pahang bersama agensi-agensi penguatkuasaan peringkat Persekutuan dalam usaha menghentikan penerokaan tanah haram di Cameron Highlands.

Dalam masa sama, ketua pergerakan itu, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki turut mempertikaikan tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Fuziah Salleh yang disifatkan cuba ‘menangguk di air keruh’ apabila mengkritik tindakan dilakukan kerajaan negeri tersebut.

Seperti diperjelaskan oleh kerajaan negeri Pahang bahkan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri, kata beliau, tindakan itu perlu dilakukan bagi memastikan kelestarian alam sekitar terpelihara di samping menjaga kepentingan orang ramai yang bergantung kepada air bersih dari Loji Kuala Terla.

“Amat tidak wajar pihak-pihak tertentu mempolitikkan isu berkepentingan umum dan mempunyai maslahah jauh lebih besar berbanding berlagak hero mempertahankan peneroka-peneroka tanah haram yang ternyata telah mencetuskan kemudaratan kepada penduduk dan alam sekitar.

“Pemuda UMNO juga kesal dengan sikap Timbalan Menteri JPM, YB Fuziah Salleh yang pernah bertindak bagaikan pejuang alam sekitar dalam kes Lynas sebelum berubah pendirian, namun cuba ‘menangguk di air keruh’ mengkritik tindakan kerajaan negeri yang hanya mahu memelihara kelestarian alam sekitar,” katanya.

Menurut Asyraf Wajdi, pihaknya menyokong penuh pendirian dan tindakan tegas Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang berusaha memastikan kebajikan rakyat dalam konteks kelestarian alam sekitar terpelihara.

Baru-baru ini, seramai 12 pemimpin termasuk pegawai khas Menteri Besar, Arumugam AV Pillai meletak jawatan serta-merta kerana kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang didakwa tidak mempedulikan nasib 60 pekebun kecil berketurunan India yang meneroka tanah secara haram di Cameron Highlands.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button