Nasional

Pelajar Sarawak terima bantuan Tekun Nasional

SERAMAI 200 orang pelajar sekolah terpilih daripada keluarga asnaf di Sarawak hari ini menerima sumbangan daripada agihan dana zakat perniagaan dari TEKUN Nasional.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Pengerusi TEKUN Nasional, Puan Najwah Halimah Ab. Alim berupa baucer pembelian barangan keperluan sekolah bernilai RM100 seorang.

Majlis penyampaian bantuan itu berlangsung di Sekolah Kebangsaan Telaga Air, Kuching Sarawak bersempena program CSR “Back To School” TEKUN Nasional anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Prihatin Beladin dan turut dihadiri Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Sarawak (PPBM), Siti Sara Udin.

Menurut Najwah Halimah, TEKUN Nasional sentiasa mengambil berat akan pelaksanaan program berbentuk khidmat sosial sebagai agenda tetap tahunannya.

“Program CSR seumpama ini memberi peluang kepada TEKUN Nasional untuk berbakti kepada masyarakat setempat di samping memberi motivasi dan sokongan moral kepada para pelajar supaya dapat mengekalkan kecemerlangan dalam bidang akademik, sekali gus mempertingkatkan minat pelajar untuk hadir ke sekolah.

“Selain itu, program ini juga bertujuan untuk membantu meringankan beban ibu bapa terutama golongan B40 daripada segi perbelanjaan kelengkapan persekolahan anak- anak mereka apabila sesi tahun 2020 bermula,” tambah beliau.

Bagi Siti Sara, program CSR sebegini perlu diperluas bagi membantu keperluan masyarakat terutama di luar bandar Sarawak yang terpinggir dari kemajuan.

“Adalah diharapkan program-program yang dapat membantu rakyat sebegini dapat dilakukan lebih kerap selain pihak TEKUN Nasional dapat mengembangkan lagi aktivitinya ke negeri ini.

“Rakyat dapat lihat sekarang dibawah kepimpinan Pakatan Harapan, TEKUN Nasional fungsinya semakin tersusun dan fokus dalam membantu orang ramai yang memerlukan dan rakyat Sarawak perlu mengambil peluang ini untuk meningkatkan ekonomi diri dan keluarga,” kata Siti Sara.

(Visited 496 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button