fbpx
Ekonomi

Sasar buka TEKUN Mart di setiap negeri

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyasarkan untuk membuka kedai serbaneka TEKUN Mart di setiap negeri tahun ini, kata menterinya Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata ia bagi membolehkan usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) mempromosi dan memasarkan produk mereka selain memberi peluang untuk rakyat berbelanja secara berhemah.

“Kebanyakan usahawan kita di luar bandar tidak begitu yakin dengan barangan yang mereka buat, sebab dia rasa tak ada pasaran, jadi dengan adanya kedai seperti ini boleh memberi keyakinan kepada mereka untuk memasarkan produk,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan TEKUN Mart di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional Datuk Adam Abd Ghani dan Pengerusi TEKUN Nasional Datuk Mohamad Suparadi Md Noor.

Sehingga kini, TEKUN Mart yang menggunakan konsep seperti kedai serbaneka FamilyMart dan KK Mart telah dibuka di tiga lokasi iaitu dua di TBS dan satu lagi di Lembah Subang, Ara Damansara.


Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya juga menyasarkan 60 peratus produk yang dijual di TEKUN Mart terdiri daripada produk tempatan dan setakat ini, telah mencapai 50 peratus sasaran itu.

Selain produk usahawan TEKUN dan barang keperluan harian, produk makanan ‘sedia untuk dimakan’ turut dijual di premis-premis itu yang mempamerkan barangan dalam suasana moden, selesa, kemas dan teratur.

Redzuan berkata selain memasarkan produk usahawan tanpa orang tengah, pelaksanaan TEKUN Mart juga mengurangkan beban kos sara hidup pengguna di mana barangan yang dijual adalah 10 hingga 15 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

Sementara itu, Adam berkata pihaknya merancang untuk membuka TEKUN Mart selepas ini di Melaka, Kelantan dan Johor dengan kos setiap premis sebanyak kira-kira RM180,000 bergantung kepada saiz dan keluasannya.

Sejak 1998 sehingga Disember tahun lepas, TEKUN telah menyalurkan pembiayaan perniagaan kepada 441,600 usahawan dengan nilai pembiayaan berjumlah RM5.75 bilion, sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan dalam membantu usahawan Melayu dan Bumiputera. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button