fbpx
Nasional

Tekun Nasional turun padang dekati usahawan Johor

SEBAGAI usaha membantu memperkasa usahawan, Tekun Nasional, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) telah menganjurkan Jom Jejak Usahawan Tekun Nasional, Cawangan Johor Bahru dan Tebrau Johor baru-baru ini.

Usaha penganjuran ini adalah bukti komitmen MED untuk membantu golongan B40 dengan turun padang terlibat dengan rakyat di lapangan melalui program keusahawanan.

Menurut Timbalan Pengerusi Tekun Nasional, Najwah Halimah Ab Alim, yang turut hadir di program ini, Program Jom Jejak Usahawan  ini menjadi pemangkin untuk Tekun Nasional mendekati masyarakat di peringkat akar umbi melalui empat pendekatan utama.

Ini termasuklah hebahan informasi perkhidmatan, penawaran khidmat nasihat, penyediaan latihan kapasiti usahawan serta pemantauan produk dan perniagaan yang lebih tersusun dan komprehensif.

“Tekun Nasional komited untuk membantu masyarakat dalam menjadikan keusahawanan ‘pekerjaan utama’ yang boleh membantu meningkatkan pendapatan dan akhirnya menyumbang kepada ekonomi negara.


“Program ini merupakan antara inisiatif yang diterajui oleh Tekun Nasional untuk mendekati rakyat dengan input yang lebih holistik dalam agenda pembangunan usahawan agar tidak dilihat hanya dalam usaha pembiayaan perniagaan,” katanya.

Sepanjang 20 tahun beroperasi, Tekun Nasional telah mempelbagaikan produk pembiayaannya bagi memenuhi keperluan dan memberi pilihan kepada usahawan seiring dengan perubahan dan kehendak semasa.    

Malah sejak tahun 1998 sehingga November 2019, Tekun Nasional telah menyalurkan pembiayaan perniagaan kepada 440,012 orang usahawan dengan jumlah RM5.67 bilion.

Pada tahun ini sahaja sehingga November 2019 Tekun Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM394.8 juta kepada 19,087 orang usahawan di seluruh negara.  

Manakala di negeri Johor pula sejak tahun 1998 sehingga November 2019, Tekun Nasional telah menyalurkan pembiayaan perniagaan kepada 47,949 orang usahawan dengan jumlah RM660.7 juta.

Dan untuk tahun ini sahaja sehingga November 2019, Tekun Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM42.9 juta kepada 2,020 orang usahawan di negeri Johor. – SM

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button