Nasional

Tidak mengaku bersalah terlibat LTTE

EMPAT lelaki termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Tinggi di sini, atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE, pada 2014 dan 2019.

ADUN Seremban Jaya, P. Gunasekaren, 60; Ahli DAP, V. Suresh Kumar, 43; peniaga B. Subramaniam, 57, dan pengutip besi buruk A. Kalaimughilan, 28, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam Bahasa Tamil serta Bahasa Melayu secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Gunasekaren, Suresh Kumar, Subramaniam dan Kalaimughilan masing-masing didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi Facebook atas nama berlainan iaitu ‘Dap Guna Palanisamy’, ‘US SUBRA SUBRAMANIAM’, ‘RocketSuresh DAP’ dan ‘Kalai Mugilan’.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, di sini antara 7 Okt dan 11 Okt 2019, pada masa berlainan iaitu 2 petang dan 6 petang.

Kalaimughilan pula menghadapi tiga lagi pertuduhan berbeza iaitu mengedar item, memberi sokongan dalam majlis dan memberi sokongan di aplikasi YouTube berkaitan LTTE.

Bagi pertuduhan mengedar item dan memberi sokongan dalam majlis berkaitan LTTE, Kalaimughilan didakwa melakukan perbuatan tersebut di Dewan Tan Sri Soma, Wisma Tun Sambanthan, Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Attap, di sini, pada 8 hingga 11.30 malam, 17 Mac 2014.

Bagi pertuduhan mengedar item berkaitan pengganas, dia didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(b) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucuthakkan mana-mana item tersebut.

Manakala bagi pertuduhan memberi sokongan dengan cara menggunakan aplikasi YouTube, Kalaimugilan didakwa melakukan perbuatan tersebut di Tingkat 24, Bahagian E8 (Counter Terrorism), Cawangan Khas, Bukit Aman di sini, pada 10 pagi, 2 Jun 2014.

Bagi kesalahan memberi sokongan, kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Hakim Muhammad Jamil menetapkan 20 Jan untuk pengurusan kes Gunasekaran, 15 Jan bagi Suresh Kumar dan Subramaniam serta 3 Jan untuk Kalaimughilan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman dan Aslinda Ahad.

Sebelum ini, tiga Mahkamah Sesyen di sini, membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kesemua kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Semasa kes disebut di Mahkamah Sesyen, pengakuan tidak direkodkan daripada semua tertuduh kerana pengakuan bagi kes melibatkan kumpulan pengganas akan diambil di Mahkamah Tinggi yang akan membicarakan kes itu.

— BERNAMA

(Visited 80 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button