Nasional

Giliran UMNO Bahagian Jasin mahu Sulaiman kekal hingga habis penggal

Wartawan Suara Merdeka

JASIN 26 April – Datuk Seri Sulaiman Md. Ali harus kekal memegang jawatan sebagai Ketua Menteri sehingga
tamat tempoh satu penggal mandat Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka,
November tahun lalu.

Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Abd. Rahman berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu
sepatutnya diberikan peluang penuh untuk mencorak pentadbiran kerajaan negeri kerana beliau berupaya
membangunkan negeri ini.

Menurutnya, Sulaiman dapat diterima oleh seluruh masyarakat berbilang kaum di negeri ini kerana
keperibadiannya mesra rakyat selain disenangi semua pihak.

“UMNO Bahagian Jasin tanpa berbelah bagi menyokong Sulaiman serta ahli jawatankuasa termasuk Wanita,
Pemuda dan Puteri berdiri teguh di belakang beliau.

“Mengapa tidak seluruh kepimpinan bahagian di negeri ini menyokong beliau untuk terus kekal sebagai Ketua
Menteri sehingga tamat penggal.

“Sulaiman menjadi ‘poster boy’ hingga BN menang mencatat sejarah menang 21 daripada 28 kerusi DUN iaitu
lebih dua pertiga majoriti untuk kita menebus kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14),” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Majlis Khatam Al-Quran anjuran Penyelaras Wanita UMNO
DUN Bemban di Masjid Al-Muhaimin dekat sini semalam.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad turut menyatakan pendirian
untuk mempertahankan Sulaiman terus kekal menerajui kerajaan negeri sehingga habis penggal.

Hasan yang juga Pengerusi Penyelaras DUN Bemban berkata, tempoh singkat beliau menjadi Ketua Menteri
sewaktu Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran daripada Pakatan Harapan (PH) tidak boleh
dijadikan ukuran.

Jelasnya, tempoh tersebut terlalu singkat dan sukar untuk beliau merangka perancangan bagi membentuk
sebuah kerajaan negeri yang mantap selepas terkesan akibat penularan Covid-19.

Sehubungan itu kata bekas ADUN Sungai Rambai itu, Sulaiman mampu memacu kerajaan negeri dengan sokongan barisan Exco yang telah dilantik.

Beliau yakin seluruh rakyat di negeri ini tidak langsung ragu-ragu terhadap kepimpinan ADUN Lendu itu
untuk membawa Melaka ke mercu kejayaan.

“Biar beliau merencanakan pemulihan ekonomi negeri ini selepas negara beralih Fasa Endemik awal bulan ini
dan kita seharusnya menyokongnya,” ujarnya.

 

(Visited 299 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button