Ekonomi

Yew Lee terbit IPO 133.1 juta saham

KUALA LUMPUR 11 April – Yew Lee Pacific Group Bhd (Yew Lee), pengeluar berus industri terkemuka serta perdagangan perkakasan perindustrian dan bahagian mesin bakal menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) 133. 1 juta di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities.

Berikutan penerbitan IPO itu, Yew Lee mengumumkan telah memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd (M&A Securities) hari ini yang melibatkan terbitan awam sebanyak 133.1 juta saham dan tawaran jualan sebanyak 26.62 juta saham untuk pelabur terpilih.

Pengarah Urusan Yew Lee, Ang Lee Leong daripada terbitan awam, sebanyak 26.62 juta saham akan boleh diperoleh secara permohonan oleh orang awam Malaysia menerusi cabutan undi; 15.97 juta saham akan diperuntukkan untuk pengarah dan kakitangan layak (borang merah jambu).

“Manakala sebanyak 23.96 juta saham lagi diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan; peruntukan 66.55 juta saham diperuntukkan menerusi penempatan persendirian untuk pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya di sini hari ini.

Di bawah perjanjian taja jamin tersebut, M&A Securities akan menaja jamin 42.59 juta saham daripada jumlah keseluruhan cadangan terbitan saham untuk orang awam Malaysia dan menerusi borang merah jambu. M&A Securities juga akan menempatkan 90.51 juta terbitan saham kepada pelabur terpilih dan pelabur bumiputera yang diluluskan oleh MITI.


Mengulas lanjut, Leong berkata, pihaknya gembira untuk bekerja dengan M&A Securities bagi IPO syarikat kami dan perjanjian taja jamin ini menandakan peringkat pertama laluan yang kami lalui menuju penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Securities.

“Penyenaraian ini akan membantu kami menjana modal yang diperlukan untuk pelan perluasan kami dan pada masa sama, meningkatkan keterampilan jenama kami di dalam industri berus industri.’’ Ujarnya.

Manakala Pengarah Urusan Pembiayaan Korporat M&A Securities, Datuk Bill Tan berkata, M&A Securities sukacita untuk memainkan peranan utama di dalam penyenaraian Yew Lee ini. Syarikat ini mempunyai pengalaman dan kepakaran teguh di dalam pengeluaran berus industri dengan sejarah yang bermula sejak awal 1990an.

“Kami tidak ragu-ragu Yew Lee akan membangun lebih lagi dan berjaya menerusi penyenaraian ini. Kami doakan Syarikat ini kesejahteraan ketika ia memasuki peringkat baharu di dalam pertumbuhannya.’’ Katanya.

Yew Lee mengeluarkan berus industri untuk pelbagai industri, merangkumi pembuatan sarung tangan, perindustrian, elektrik dan elektronik, penyedia pembersihan industri dan komersial selain pengeluar kayu dan gelas.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, Malaysia menyumbang 81.4 peratus daripada keseluruhan hasilnya, dengan Thailand menyumbang 6.7 peratus dan Vietnam pula 6.2 peratus. Mengikut industri, pengeluar sarung tangan menyumbang 88 peratus kepada perolehan pada FY2020.

(Visited 106 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button