Kesihatan

Kanak-kanak akan diberi 6 vaksin berbanding 5 sebelum ini

KANAK-KANAK berusia antara satu hingga 18 bulan akan diberi enam jenis vaksin berbanding lima sebelum ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, pertukaran Jadual Imunisasi Kebangsaan untuk Kanak-Kanak itu akan melibatkan semua Klinik Kesihatan KKM di seluruh negara.

Di bawah program baru itu kanak-kanak terbabit akan diberi vaksin kombinasi enam serangkai dengan ditambah satu vaksin iaitu hepatitis B.

Sebelum ini mereka diberikan vaksin kombinasi lima serangkai iaitu difteria, tetanus, pertussis, polio dan Haemophilus influenzae type b (pentavalent DTaP-IPV//Hib).

“Pertukaran pelaksanaan akan dilaksanakan secara berperingkat, yang akan bermula seawal bulan November 2020 bergantung kepada ketersediaan bekalan vaksin ini di fasiliti kesihatan KKM,” kata Dr. Noor Hisham.

Vaksin enam serangkai tersebut bertujuan untuk mencegah enam jenis penyakit iaitu difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, jangkitan haemophilus influenzae type b dan hepatitis B.

Sebanyak empat dos vaksin enam serangkai akan diberikan kepada setiap kanak-kanak pada umur dua bulan, tiga bulan, lima bulan dan 18 bulan.

“Di samping itu, vaksin Hepatitis B yang diberi selepas lahir akan terus diberikan. Manakala, vaksin Hepatitis B yang sebelum ini diberikan pada umur satu bulan dan enam bulan tidak perlu lagi diberikan kerana komponen vaksin Hepatitis B telah terkandung dalam vaksin kombinasi enam serangkai difteria – tetanus – pertussis – polio – Hepatitis B – Haemophilus influenzae type b (hexavalent DTaP-IPV-HepB-Hib).

“Ini bermakna, bilangan suntikan untuk mencegah enam jenis penyakit iaitu difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, jangkitan Haemophilus influenzae type b, dan Hepatitis B dapat dikurangkan dari tujuh suntikan kepada hanya lima suntikan susulan pertukaran vaksin ini.

“Dengan pengurangan bilangan suntikan, ia memudahkan ibubapa untuk memastikan anak-anak diberikan suntikan vaksin mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan,” kata Dr. Noor Hisham.

Katanya, pemantauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di peringkat global menunjukkan sehingga 20 Oktober lalu terdapat 49 buah negara telah bertukar kepada vaksin enam serangkai DTaP-IPV-HepB-Hib dalam Program Imunisasi Kebangsaan mereka.

Menurut beliau, walaupun vaksin enam serangkai telah digunakan di fasiliti kesihatan swasta di Malaysia sejak tahun 2013 dan telah terbukti selamat namun ia merupakan vaksin yang baharu digunakan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan di fasiliti kesihatan KKM.

“Seperti vaksin-vaksin lain yang berdaftar di Malaysia, kesan advers susulan imunisasi (adverse events following immunization, AEFI) vaksin tersebut dipantau oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia. Sejak ia digunakan oleh fasiliti kesihatan swasta di Malaysia, tiada sebarang isu keselamatan serius yang dilaporkan,” kata Dr. Noor Hisham.

Katanya, KKM akan menjalankan pemantauan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) bagi setiap kanak-kanak selepas setiap dos suntikan.

Ibu bapa diminta untuk melaporkan sebarang kesan advers yang dialami oleh anak mereka kepada anggota kesihatan selepas setiap suntikan dengan mengembalikan borang pelaporan, walaupun kesan yang dialami adalah ringan, seperti merah di tempat suntikan.

Selain itu, ibubapa juga boleh melaporkan kesan advers secara terus kepada NPRA melalui laman sesawang npra.gov.my dengan mengisi Consumer Side Effect Reporting Form (CONSERF).

Tegas Dr. Noor Hisham, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan.

Sekiranya anak-anak tercicir sebarang imunisasi, mereka perlu dibawa ke klinik kesihatan atau klinik swasta yang berdekatan untuk penjadualan semula imunisasi.

Katanya, berdasarkan jadual baru ini, walaupun tiada suntikan imunisasi diberikan kepada kanak-kanak berumur satu bulan dan enam bulan seperti sebelum ini, ibu bapa perlu mematuhi jadual kedatangan ke fasiliti kesihatan untuk pemantauan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak seperti yang dietapkan dalam Buku Rekod Kesihatan Bayi dan Kanak-Kanak.

Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan mengenai pertukaran vaksin lima serangkai kepada vaksin enam serangkai ini, sila hubungi KKM di talian 03-8883 4042/03-8883 4504 pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 9 pagi hingga 5 petang atau dapatkan penjelasan lanjut di Klinik Kesihatan yang berdekatan.-SM

 

 

(Visited 342 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button