Hiburan

Wawa Zainal peruntuk hampir RM500,000 untuk ganjaran kepada stokis dan ejen

PELAKON Wawa Zainal melalui syarikatnya, Wawa Cosmetic memperuntukkan hampir RM500,000 sebagai imbuhan kepada stokis serta ejen yang membantu menjana keuntungan syarikat bagi 2023 dengan angka mencecah RM32 juta.

Katanya, penghargaan diberikan meliputi hadiah wang tunai kepada mereka yang mempunyai nilai jualan tertinggi sepanjang tahun lalu, selain membawa rombongan seramai 33 orang mengerjakan umrah.

“Pekerja, stokis dan ejen adalah nadi kepada Wawa Cosmetics sejak syarikat yang saya dan suami, Aeril Zafril usahakan enam tahun lalu sehingga kini mampu berdiri gah.

“Selain menghargai mereka dengan mengadakan majlis pengiktiran dan beri ganjaran wang, kami juga saban tahun menganjurkan percutian ke luar negara termasuk ke Eropah.

Kami peruntukan lebih RM100,000 wang tunai buat 10 stokis dan ejen terbaik, bahkan tahun ini buat pertama kali kami juga membawa rombongan Wawa Cosmetics ke Tanah Suci membabitkan lebih 30 jemaah,” katanya.

Wawa, 32, atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin berkata, jika tiada aral rombongan syarikatnya itu dijadualkan berlepas ke Mekah hari ini.

Akui ibu kepada empat cahaya mata itu, selain stokis dan ejen, pemergian ke Tanah Suci itu turut disertai Aeril dan anak ketiga mereka, Ayya Soffya yang kini sudah berusia empat tahun.

“Alhamdulillah, kami masih dapat dapat berkongsi rezeki dengan mereka yang membantu mengukuhkan jenama syarikat, sekali gus menjadi pembakar semangat untuk terus berdaya saing.

“Ini juga adalah umrah keempat kami berdua, cuma kali ini hanya dapat membawakan Ayya Soffya kerana abang dan kakaknya sedang menghadapi peperiksaan,” katanya selepas Malam Gala Wawa Cosmetics, di sini, malam tadi.

Begitupun, suaminya tidak dapat hadir pada acara mega pengiktirafan tahunan syarikat mereka berikutan dalam fasa penyembuhan selepas mendapat serangan influenza.

“Sebenarnya dia disahkan influenza sejak beberapa hari lalu dan hari ini (semalam) sudah bebas kuarantin, cuma dinasihatkan berehat agar tenaganya betul-betul pulih.

Insya-Allah, doakan kesihatan Aeril agar dia dapat menyempurnakan ibadah umrah ini,” ujarnya.

Menyentuh mengenai perkembangan syarikat, akuinya tahun ini pihak syarikat mensasarkan perolehan sebanyak RM50 juta yang juga sekali ganda daripada keuntungan pada 2023.

“Tidak mustahil kami mampu mencapai sasaran melihatkan keuntungan tahun ini yang juga bertambah sekali ganda pada tahun sebelumnya iaitu RM18 juta untuk 2022.

“Bersama sokongan pengguna selain semangat ditunjukkan semua stokis, ejen serta seluruh jentera syarikat kami, misi itu bukan mustahil,” tambahnya.

Artikel berkaitan > ”Alhamdulilah Wawa setuju ada MADU Turki”- Aeril Zafrel

(Visited 302 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button