Nasional

Aspek ketamadunan tidak boleh diketepikan – Anwar

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam era yang didominasi digitalisasi dan kecerdasan buatan, aspek ketamadunan seperti bahasa dan sastera tidak boleh dilupakan kerana ia adalah kekuatan nilai dan moral masyarakat.

Beliau berkata sesebuah negara juga tidak boleh membangun tanpa kemajuan dalam tamadun.

“Lagipun kita adalah manusia dan manusia tidak boleh dibentuk hanya dalam kerangka teknologi pendigitalan, ia dibentuk dengan pembangunan bangsa dan budaya.

“Dalam memartabatkan bangsa, ya, ekonomi asasnya masih penting. Tetapi kalau kita bercakap tentang (pembangunan) maruah manusia, ia sudah tentu berdasarkan ilmu, akhlak dan budaya,” katanya dalam ucaptama ketika merasmikan seminar Fikrah Siddiq Fadzil di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini, 30 Mei.

Dalam seminar yang membincangkan topik “Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia”, Anwar berkata wacana akademik dan seumpamanya mesti diperluaskan untuk membangunkan tamadun dan mengangkat martabat masyarakat Malaysia Madani.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan pengerusi lembaga pengarah DBP Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

Dalam ucapannya, perdana menteri menyifatkan Allahyarham Datuk Dr Siddiq Fadzil sebagai seorang yang amat prihatin terhadap keperluan pembaharuan dan pemikiran baharu dalam kalangan masyarakat Melayu yang dinamik dan progresif. -SM

Baca juga : Tahniah Erdogan, hubungan Malaysia & Turkiye lebih mantap; Anwar

(Visited 49 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button