NasionalNegeri

Wanita perlu manfaatkan kemajuan teknologi – Raja Puan Muda Perlis

GOLONGAN wanita perlu memanfaatkan kemajuan teknologi untuk memperkasa diri ke arah yang lebih cemerlang dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup.

Saranan ini bertepatan dengan Hari Wanita Antarabangsa 2023 juga telah disambut di seluruh dunia dengan tema “Innovation and technology for gender equality”.

Demikian titah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selepas berkenan menyempurnakan majlis menandatangani sijil-sijil penghargaan kepada mereka yang menjayakan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Edisi ke-19, “Women In Search of Excellence” bertemakan “Aspirasi Wanita Ke Arah Memartabatkan Perpaduan Dalam Kalangan Mahasiswa Di Institusi Pengajian Tinggi” baru-baru ini.

Pada kesempatan yang sama Raja Puan Muda Perlis menzahirkan ucapan syabas kepada Kementerian Perpaduan Negara khususnya Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang melalui Institut Kajian Dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN) dengan kerjasama Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM) di atas penganjuran webinar tersebut serta ahli-ahli panel yang hebat-hebat belaka berkongsi ilmu, pengalaman dan pandangan tentang tema yang dipilih khas tersebut.

Antara ahli panelis adalah Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin (Institut Pengajian Sains Sosial UPM); Prof. Dr. Haslinda Abdullah (Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial Putra Infopoint UPM), Sharon Wee Ee Lin (Naib Presiden Persatuan Squash Malaysia), Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman (Ketua Laboratori Institut Pengajian Sains Sosial Putra Infoport UPM),

Prof. Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid (Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia), Prof. Dr. Dayang Anita Abdul Aziz (Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim); Prof. Madya Dr. Nga Lay Hui @ Janice Nga Ketua Kluster Ekonomi Perancangan dan Pembangunan Pusat Pembangunan Ekonomi dan Dasar (PPED) Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah: dan Dr. Aini Azeqa Ma’rof (Pensyarah Kanan
Institut Pengajian Sains Sosial Putra Infoport (UPM).

Tuanku Hajah Lailatul Shahreen menzahirkan ucapan tahniah selaku Pengerusi YTF juga bertitah kepada kaum wanita di luar sana yang berjaya mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang masing-masing sehingga ada yang mendapat pengiktirafan di peringkat global yang sangat membanggakan semua pihak.

Program tersebut disempurnakan perasmiannya oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Penasihat YTF. – SM

(Visited 108 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button