Nasional

COVID-19: 88 pulih, 70 positif dan satu kematian dilaporkan

SITUASI COVID-19 di Malaysia kekal dua digit dengan penambahan 70 kes baharu menjadikan jumlah kes positif sebanyak 6,726 kes, setakat 12 tengah hari tadi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata 88 kes pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dan discaj daripada wad adalah 5,113 kes iaitu 76 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Terdapat 70 kes baharu yang telah dilaporkan, di mana 31 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia. Ingin dimaklumkan juga, bahawa daripada 70 kes baharu yang dilaporkan hari ini, terdapat 13 kes import dan 57 kes penularan tempatan.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,504 kes,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 hari ini seperti yang dilaporkan BERNAMA

Menurut Dr Noor Hisham, sehingga kini, terdapat 20 kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan tujuh kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu di Terengganu Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, dua pesakit terakhir positif CIVID-19 yang menerima rawatan di HHT telah dibenarkan keluar dari hospital itu hari ini.

Salah seorangnya kata beliau telah menghadiri ijtimak tabligh di Sri Petaling pada 24 Feb hingga 4 Mac lalu dan selepas itu datang ke Terengganu untuk melakukan kerja-kerja dakwah.

“Bagaimanapun, beliau dimasukkan ke HHT pada 17 Mac sebagai pesakit dalam siasatan (PUI) setelah mengalami batuk dan sakit tekak.

“Dua hari selepas itu, pesakit ini dimasukkan ke HSNZ setelah didapati positif COVID-19 dan telah dipindahkan semula ke HHT pada 5 April apabila keadaannya semakin stabil untuk meneruskan rawatan sebelum dibenarkan keluar hari ini,” katanya.

HHT mula diwartakan sebagai hospital yang merawat kes berkaitan COVID-19 sepenuhnya di Terengganu pada 14 Mac dan sejak itu, semua pesakit lain dipindahkan ke HSNZ serta Hospital Setiu untuk menerima rawatan.

Dr Nor Azimi juga berkata, kesemua lapan daerah di Terengganu kini dikategorikan sebagai zon hijau kerana telah merekodkan sifar kes positif COVID-19 bagi tempoh 14 hari dengan kes terakhir dikesan pada 23 April di Besut dan kesemua 13 pusat kuarantin juga sudah ditutup kecuali satu di Kemaman. – SM

(Visited 57 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button