Politik

Pastikan UMNO sebagai peneraju kerajaan atau ditalqinkan selamanya

SEMPENA dengan ulangtahun ke-74, UMNO sekarang berada di persimpangan jalan yang akan menentukan masa depan parti siasah yang paling besar, bersejarah dan berpengaruh di Malaysia.

Halatuju yang kita bakal putuskan bersama boleh melihat kembalinya UMNO sebagai parti peneraju bagi pentadbiran kerajaan atau parti kesayangan orang Melayu ini ditalqinkan selama-lamanya.

Sudah dua tahun UMNO kehilangan mandat rakyat buat julung kalinya. Sudah dua tahun berlalu UMNO membawa suara rakyat sebagai pembangkang berdepan kerajaan Pakatan Harapan yang mengingkari janji, menjejaskan pendapatan negara, memotong segala jenis bantuan rakyat dan memusnahkan keharmonian kemajmukan negara.

Akhirnya, pakatan ini tergugur dengan sendirinya. Jangan cerita janji kepada rakyat yang tidak tertunai, janji sesama mereka sendiri diingkar lantas mencetuskan kerobohan rumah mereka.

Tiada tangan ghaib dari parti-parti pembangkang yang bermuafakat demi bangsa dan agama yang menyebabkan keadaan ini. Mereka hanya ada diri mereka sendiri untuk dipersalahkan.

Maka kembalinya UMNO di dalam saf pentadbiran hari ini, walaupun sebagai pelengkap kepada perikatan yang terpaksa disusun dek pembunuhan diri Pakatan Harapan.

UMNO telah menyertai sebuah functional government atau kerajaan yang berfungsi untuk memperbetul halatuju negara yang terpesong trajektorinya selama dua tahun.

Sebuah functional government bergerak atas ciri-ciri teknokratik dengan melihat keputusan dasar melalui kancah pentadbiran semata-mata. Justeru ia berbeza dengan sebuah kerajaan yang mempunyai asas politik atau ideologi. A functional government is not a political government or an ideological government.

Sebuah political government memerlukan kerjasama parti-parti memerintah untuk bersetuju dengan asas kerjasama dan asas itu diinstitusikan. Sebuah ideological government mesti mempunyai falsafah dan dokumen dasar yang menjadi akujanji kerajaan itu kepada rakyat.

Hari ini UMNO mendukung kerajaan semasa dan adalah sebahagian daripada barisan functional government ini. UMNO harus memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri dalam menangani krisis terbesar yang dihadapi manusia sejak Perang Dunia Kedua.

Sudah pasti dari segi keutamaan kerja, usaha memerangi COVID-19 mengatasi segala-gala percaturan politik.

Namun demikian, sebagai sebuah parti badan siasah, UMNO mesti melihat dua tiga langkah kehadapan.

Apakah komitmen kita kepada susunan politik baharu hari ini? Apakah UMNO akan juga turut membina asas politik dan ideologi kepada functional government yang ada sekarang?

Dan paling penting, siapakah barisan pemimpin yang paling sesuai untuk mengemudi parti ini untuk memilih jalan yang terbaik di persimpangan ini?

Biasanya perutusan ulangtahun parti oleh pemimpin sarat dengan ayat-ayat biasa dan klise. Masalah pokok tidak disentuh. Kerana adat politik Melayu, adalah umpama bersilat. Banyak bunga sembah dahulu. Saya pergi terus kepada dilema parti yang perlu penyelesaian segera.

Selamat menyambut ulangtahun ke-74, UMNO.

Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Rembau

Artikel ini dipetik daripada Facebook Khairy Jamaluddin

(Visited 283 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button