Nasional

Wacana didik pentingnya kedaulatan Negara

MAJLIS Wacana Ilmu Kedaulatan Malaysia – Governan Utama Negara memberi pendedahan kepada mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tentang pentingnya semangat patriotisme dan mempertahankan kedaulatan tanah air.

Majlis Jelajah Wacana Ilmu anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara, bersama Universiti Teknikal Melaka (UTEM); Institut Peradaban Melayu (IPM) UPSI, serta Majlis Buku Kebangsaan Malaysia yang diadakan di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah semalam dirasmikan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.

Muhammad Kamil bersama warga UPSI yang menghadiri majlis Wacana Kedalulatan Malaysia- Governan Utama Negara.

Ketika berucap beliau berkata mahasiswa yang matang perlu memahami bukan sahaja kerencaman dalam pendidikan, malahan kerencaman politik, ekonomi dan sosial yang melanda negara.

Justeru, katanya, buku tulisan Prof Madya Datuk Dr Wan Mohd Fauzi membantu masyarakat memahami struktur asas pembentukan dan governan negara yang menyingkap dengan teliti pandangan sarjana.

Begitu pandangan yang merentas budaya dan agama seperti tokoh Islam, Al Maududi selain Ibnu Qaldum menerusi bukunya Al-Muqadimah yang menjadi teras kefahaman membicarakan tentang kenegaraan.

Dari kiri : Tan Sri Prof Datuk Wira Dr Abdul Latiff Abu Bakar, Prof Madya Datuk Dr Wan Mohd Fauzi, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib; serta Prof Dr Mohd Azhar Wahid.

Dalam kecemerlangan akademik, mahasiswa juga harus mempunyai akhlak dan moral yang baik untuk dijadikan contoh baik dijadikan teladan kepada generasi akan datang.
Beliau menyeru mahasiswa agar turun ke lapangan untuk melihat sendiri dan bergaul dengan masyarakat untuk memahami masalah dan derita yang melanda rakyat.

“Saya menyeru mahasiswa mentelaah buku Kedaulatan Malaysia – Governan Utama Negara yang dikupas dengan bahasa yang mudah dan teliti supaya mengetahui bagaimana negara ini didirikan oleh Raja-raja Melayu dan perlu dipertahankan,” katanya.

Panel wacana terdiri daripada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib; Prof Madya Datuk Dr Wan Mohd Fauzi serta Prof Dr Mohd Azhar Wahid dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI dan dipengerusikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara, Tan Sri Prof Datuk Wira Dr Abdul Latiff Abu Bakar.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata UPSI yang berdiri megah hari ini yang bermula pada zaman Sultan Idris Training College (SITC) adalah hasil cetusan kasih sayang dan usaha empat raja-raja Melayu.

“Pemilihan lokasi yang strategik di tengah-tengah Semenanjung Malaysia memberi kelebihan dan keistimewaan kepada institusi ini untuk bangkit melahirkan guru-guru Melayu yang kemudiaannya berkhidmat di negara masing-masing seperti Brunei dan Singapura, malah ada yang berjaya dalam dunia politik,” katanya.

Hadir sama, Pengarah IPM, Prof Dr Tajul Shuhaizam Mohd Said; Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MKBM), Mohd Khair Ngadiron serta Pengarah Urusan syarikat Galaxy Palm Oil Enterprise Sdn Bhd, Datin Angelreena Lim Shing Yeng.

Pada majlis sama kakitangan dan mahasiswa UPSI menerima secara percuma buku Kedaulatan Malaysia – Governan Utama Negara tulisan Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain atas sumbangan penajaan Syarikat Galaxy Palm Oil Enterprise Sdn Bhd.

Sebahagian daripada mahasiswa yang mengikuti majlis Wacana Ilmu Wacana Ilmu Kedaulatan Malaysia – Governan Utama Negara di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Ketika merumuskan wacana, Abdul Latiff berkata wacana menarik ini dan buku yang diberikan ia baik untuk mahasiswa mendalami aspek kenegaraan dan memahami fungsi Yang di-Pertuan Agung serta Raja-raja Melayu.

Beliau berkata Wacana Ilmu digerakkan bertujuan mendidik dan memberi kefahaman kepada masyarakat untuk Memperkukuhkan Jaringan Kerjasama bersama universiti-uiversiti awam dan agensi kerajaan ke arah Mendaulatkan Institusi Raja Raja dalam konteks Urus Tadbir Negara.

Buku berkenaan disempurnakan pelancarannya oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 27 Mei lalu di Kuala Lumpur sewaktu berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. -SM

Baca juga : UPSI kongsi modul pemulihan dalam komuniti bersama petugas JKM

(Visited 49 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button