JenayahNasional

48 NGO Tuntut Siasatan Bebas Isu Palit Azam Baki

KUALA LUMPUR: Lebih 40 badan bukan kerajaan (NGO) hari ini tampil menggesa siasatan bebas dilaksanakan terhadap kontroversi dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ia adalah satu daripada tujuh tuntutan empat NGO merangkumi Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), GERAK, Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), dan disokong 44 NGO lain.

Antara NGO yang dinamakan menyokong tuntutan itu termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), BERSIH, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), G25 Malaysia dan Gabungan Bertindak Malaysia.

Turut tersenarai, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM), Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) dan Persatuan Komuniti Prihatin Selangor dan Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan bersama, NGO itu menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan pelaksanaan siasatan bebas bagi memulihkan kredibiliti SPRM yang terjejas berikutan kontroversi berkenaan.


Selain itu, mereka menuntut Azam bercuti sementara menunggu hasil siasatan, selain menggesa individu dan entiti terkait kontroversi berkenaan menjawab tiga soalan penting.

“Bagaimana Ketua Pesuruhjaya SPRM boleh membenarkan adiknya membeli saham menggunakan akaun sekuritinya sedangkan ia mungkin bertentangan dengan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA)?

“Mengapa Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) didakwa mengetepikan pandangan anggota LPPR yang lain dan bergantung pada pandangan peribadinya untuk melepaskan Azam?

“Mengapa semua ahli LPPR berdiam terhadap aduan dibangkitkan oleh bekas anggota LPPR, Prof Dr Edmund Terence Gomez selepas mereka hadir dalam mesyuarat pada 24 November untuk membincangkan perkara itu,” kata kenyataan itu, hari ini.

Semua 48 NGO itu turut mendesak LPPR mendedahkan minit mesyuarat pada 24 November lalu bagi menunjukkan asas keputusan untuk ‘membebaskan’ Azam tanpa melalui siasatan terperinci.

Selain itu, Azam turut didesak menarik balik surat tuntutan terhadap individu yang mendedahkan maklumat mengenai kepentingan dimilikinya dalam sejumlah perniagaan.

Mereka turut menggesa kerajaan meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi memberi lebih banyak perlindungan kepada individu yang mendedahkan maklumat seumpamanya.

“Kerajaan juga perlu melaksanakan reformasi yang serius bagi menjadikan SPRM benar-benar bebas, selaras saranan oleh empat kumpulan pada 2015.

“SPRM perlu dikeluarkan daripada Jabatan Perdana Menteri, sebaliknya diletakkan di bawah pemantauan jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang bipartisan,” katanya.

Rabu lalu, Azam dalam satu sidang media menafikan sekeras-kerasnya tuduhan mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat seperti didakwa dan tular, sejak akhir-akhir ini.

Beliau memberi alasan akaun saham itu digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki dalam urus niaga, selain Azam tidak mempunyai kepentingan atau manfaat terhadap saham yang dibeli.

Pada sidang media sama, Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang menyatakan LPPR yang juga satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM mendapati tiada perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.

Katanya, panel lembaga itu memanggil Azam pada 24 November lalu bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan terbabit yang tular di media sosial kerana ia menimbulkan pandangan negatif terhadap SPRM.

Namun, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada Khamis memaklumkan, alasan Azam itu bertentangan SICDA, dengan Seksyen 25 akta itu memperuntukkan semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.

Seksyen 29A SICDA menetapkan semua urus niaga sekuriti hanya boleh dilakukan oleh pemilik manfaat sekuriti atau penama yang dibenarkan.

Oleh Ahmad Suhael Adnan

(Visited 96 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button