Parlimen

Vitamin C tidak termasuk protokol rawatan Covid-19

PENGGUNAAN suntikan intervena vitamin C tidak termasuk di dalam protokol rawatan Covid-19 di Malaysia.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, berdasarkan kajian dan bukti saintifik yang telah dijalankan di luar negara data keberkesanan penggunaan suntikan intervena vitamin C terhadap penyakit Covid-19 masih lagi tidak mencukupi.

“Oleh yang demikian pemberian suntikan vitamin c juga tidak dimasukkan di dalam protokol rawatan Covid-19 di negara lain seperti Singapura dan Australia.

“Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil maklum mengenai perkembangan terkini khususnya mengenai rawatan Covid-19 dan akan sentiasa mengemaskini protokol rawatan berdasarkan bukti saintifik dan saranan badan antarabangsa bagi memberikan rawatan yang terbaik kepada pesakit,” kata Dr. Noor Azmi.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Kedah Dr. Azman Ismail di Dewan Rakyat yang meminta pendirian Kementerian Kesihatan tentang penggunaan Vitamin C di dalam rawatan penyakit Covid-19.


Ini khususnya penggunaan Vitamin C di dalam bentuk suntikan intravena di dalam merawat kes-kes Covid-19 yang serius.

Ahli Parlimen Kuala Kedah itu menegaskan satu kajian penggunaan vitamin C telah dijalankan oleh pakar-pakar Kementerian Kesihatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Hasil kajian telah dipamerkan kepada awam pada bulan Julai lepas yang menunjukkan hasil yang sangat berkesan terhadap pesakit Covid-19 di mana kadar sembuh yang sangat memberangsangkan. Itu oleh pakar-pakar kementerian kesihatan sendiri.

“Apakah itu tidak mencukupi untuk kementerian bergerak ke hadapan dan lebih positif terhadap penggunaan Vitamin C,” tanya Dr. Azman.

Beliau juga berkata, kajian di Wuhan, China yang dimuatkan dalam British Medical Journa telah menyenaraikan dengan lengkap metedologi penggunaan Vitamin C yang murah dalam mengubati pesakit Covid-19.

Dr. Noor Azmi menegaskan, banyak kajian penggunaan vitamin C telah dijalankan namun tidak ada yang menunjukkan keberkesanan.

Justeru banyak negara di dunia tidak menyenaraikan vitamin C sebagai sebahagian protokol untuk menyembuhkan Covid-19.

KKM turut menjalankan kajian penggunaan vitamin C bertajuk Effect of high dose vitamin C supplementation in severe Covid-19 in patients in ICU .

“Ini dibuat di dua hospital besar di Ipoh dan HKL. Di mana mempunyai kohot yang kecil iaitu 14 pesakit.

“Dan kajian ini telah dibentangkan kepada umum pada 24 Ogos. Dan antara keputusan yang dikatakan bagus ialah kadar kematian pada mereka yang diberikan intravena vitamin C di dalam ICU hanya 14.3 peratus. Sedangkan yang tidak diberikan vitamin C ialah 71.4 peratus.

“Sebagai rawatan tambahan ia memberikan manafaat. Cuma kajian ini tidak kemas kerana Cohortnya kecil. Hanya 14 pesakit,” kata Dr. Noor Azmi.-SM

 

 

 

 

(Visited 26 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button