Parlimen

Parlimen kawasan berisiko tinggi jangkitan Covid-19 – Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Noor Hisham Abdullah berkata, Parlimen tidak dibenarkan bersidang kerana risiko penularan Covid-19 adalah tinggi.

Ini adalah kerana, kata beliau, banyak berlaku perkumpulan kecil di sekitar bangunan parlimen, selain mereka berada di dalam bangunan yang sama untuk tempoh yang lama.

Mereka juga, ujar beliau, berkongsi tandas dan pelbagai kemudahan lain.

Selain risiko yang tinggi, kata beliau, ahli parlimen juga terdiri daripada warga emas jika dijangkiti akan berisiko yang menjadi kritikal.

Berikut kenyataan penuh:


KENYATAAN AKHBAR

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

KEBIMBANGAN BERIKUTAN PENGESANAN KES COVID-19 DAN RISIKO PENULARAN JANGKITAN DI PARLIMEN

Seperti makluman umum, Sidang Mesyuarat Khas Parlimen telah berlangsung pada 26 Julai sehingga 29 Julai 2021 bertempat di Dewan Parlimen Negara, Kuala Lumpur. Mengambilkira Sidang ini melibatkan ramai individu berkumpul (mass gathering) dari seluruh negara dan memberi risiko tinggi penularan jangkitan COVID-19 terutama di kala varian berbahaya seperti varian delta merebak di dalam komuniti dan situasi peningkatan kes COVID-19 yang semakin melarat, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sememangnya bimbang sekiranya berlaku penularan jangkitan di Parlimen.

Sebelum Sidang Khas Parlimen Bermula

Ujian pengesanan COVID-19 telah dijalankan ke atas semua individu yang akan hadir ke Parlimen. Hanya individu yang disahkan negatif COVID-19 dan tidak bergejala sahaja yang dibenarkan untuk hadir ke Parlimen. 2,093 individu telah menjalani RT PCR sebelum mereka menghadiri Parlimen. Seramai 56 kes daripada jumlah yang disaring itu didapati positif COVID-19 dan telah diarahkan untuk menjalani pengasingan. Siasatan dan pengesanan kontak rapat mendapati empat (4) kes dikesan positif COVID-19. Kesemua 60 kes positif COVID-19 ini tidak hadir ke Parlimen sejak dari hari pertama Sidang berlangsung.

Sebelum Sidang bermula, pada 26 Julai 2021 jam 8 pagi, Ketua Pengarah Kesihatan (KPK) yang mewakili KKM telah membuat pembentangan kepada “Mesyuarat Penyelarasan Bagi Urusan Berkaitan Mesyuarat Khas Bagi Dewan Rakyat berikutan Penularan Wabak COVID-19” di Parlimen. Mesyuarat telah dihadiri oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, YB Menteri Kluster Keselamatan, YB Menteri Parlimen, YDP Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, dan ketua atau wakil kanan parti-parti politik dari pihak Kerajaan dan Pembangkang.

Mereka telah dimaklumkan hasil saringan pra-persidangan, risiko penularan jangkitan COVID-19 serta kekhuatiran pihak KKM. KKM kemudiannya telah mengemukakan cadangan seperti berikut:

i. Sidang Khas Parlimen ditangguhkan sehingga status liputan imunisasi sekurang-kurangnya 40 peratus terutama di Lembah Klang. Ini mengambilkira peningkatan kes positif COVID-19 seluruh Malaysia terutama di Selangor, WPKL dan Negeri Sembilan; ATAU

ii. Sekiranya Sidang Khas Parlimen diteruskan, jumlah kehadiran secara fizikal di Parlimen dikurangkan dan tempoh persidangan dipendekkan bagi mengurangkan tempoh pendedahan. Dicadangkan supaya Sidang hendaklah dihentikan serta merta sekiranya terdapat kes positif COVID-19 dikesan bagi mencegah berlakunya risiko penularan jangkitan di kalangan individu yang hadir di Parlimen.

Mesyuarat termasuk wakil parti-parti politik telah memutuskan untuk melaksanakan opsyen (ii).

Sepanjang Sidang Khas Parlimen Berlangsung

Bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 sepanjang Sidang, KKM telah:

  • • memantau status kesihatan setiap individu yang hadir di Parlimen dengan mengadakan saringan suhu dan risiko jangkitan di pintu masuk Parlimen pada setiap hari;
  • • menyediakan kemudahan ujian saringan kendiri RTK antigen (Ag) saliva di bangunan Parlimen bermula pada 26 Julai 2021. Seramai 104 orang telah disaring pada 26 hingga 28 Julai 2021.

Pada 29 Julai 2021 jam 12.30 tengah hari, KKM telah dimaklumkan mengenai dua (2) kes positif COVID-19 yang telah hadir ke Parlimen. Kes pertama merupakan seorang petugas yang telah hadir ke Parlimen sejak 26 Julai 2021 dan dikesan positif melalui ujian pengesahan RT PCR di sebuah fasiliti kesihatan kerana bergejala batuk. Nilai CT value atau nilai ambang RT PCR beliau adalah 18.71. Kes kedua pula dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai 2021 jam 12:30 tengah hari menggunakan ujian kendiri RTK antigen (Ag) saliva kerana gejala batuk dan loya.

Tindakan KKM Susulan Penemuan Kes Positif COVID-19

Seperti sedia maklum kebolehjangkitan adalah tinggi dua (2) hari sebelum gejala dan berterusan sehingga hari ke tujuh (7). Dengan pengesanan dua (2) kes positif COVID-19 tersebut terutama dengan kes pertama didapati mempunyai CT value 18.71 semasa ujian RT PCR, KKM telah mengambil keputusan segera untuk menjalankan saringan ujian kendiri RTK Ag saliva ke atas 1,183 individu di dalam Parlimen dan mendapati sembilan (9) lagi kes positif COVID-19. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif

adalah 11 kes (seorang RT PCR positif dan 10 orang RTK Ag positif) dengan lima (5) daripadanya bergejala.

Bagi pengesahan lanjut, kesemua 10 kes positif RTK Ag telah diambil swab bagi ujian pengesahan jangkitan COVID-19 menggunakan RT PCR. Lapan (8) kes disahkan positif COVID-19 di mana lima (5) kes mempunyai kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi (CT value atau nilai ambang antara 12.67 hingga 18.19). Kesemua sampel ini telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk dibuat ujian jujukan genom (genomic study) bagi mengenalpasti jenis varian virus SARS-CoV-2.

Daripada lapan (8) kes positif COVID-19 ini, hanya dua (2) kes sahaja yang mempunyai sejarah vaksinasi COVID-19 lengkap (melepasi 14 hari dari tarikh dos ke-2). Kesemua kes ini stabil dan telah diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian untuk menjalani pengasingan di tempat kediaman masing-masing serta dipakaikan gelang tangan pengawasan. Setakat ini seramai 48 kontak rapat telah dikenalpasti, namun siasatan dan pengesanan kontak rapat masih lagi diteruskan.

Pada 30 Julai 2021, saringan pra-persidangan Dewan Negara telah dijalankan ke atas 100 individu menggunakan ujian RT PCR dan mendapati sembilan (9) kes positif COVID-19. Pemakluman kes telah dilaporkan kepada KKM pada 1 Ogos 2021. Siasatan ke atas kes dan pengesanan kontak rapat sedang dijalankan untuk diambil tindakan kawalan dan pencegahan sewajarnya.

Penilaian Risiko

Walaupun jumlah kes positif COVID-19 yang dikesan semasa Sidang Parlimen ini adalah 0.8 peratus, namun hasil penilaian risiko dengan mengambilkira faktor epidemiologi dan persekitaran, didapati persidangan

Parlimen merupakan satu perhimpunan yang berisiko tinggi untuk berlaku penularan jangkitan COVID-19. Kriteria penilaian risiko tersebut adalah:

Faktor epidemiologi:

1. Terdapat enam (6) kes (1 kes pertama dan 5 kes pengesahan lanjut dengan RT PCR) dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi (CT value yang rendah) dan bergejala yang memberi risiko berlaku penularan jangkitan dan berpotensi menjadi superspreader.

2. Seperti sedia maklum kebolehjangkitan adalah tinggi dua (2) hari sebelum gejala dan berterusan sehingga hari ke tujuh (7).

3. Pergerakan kes di sekitar kawasan Parlimen yang berkemungkinan boleh menyebabkan pendedahan kepada individu lain.

4. Ramai dalam kalangan yang hadir ke Sidang Mesyuarat Khas Parlimen ini dalam kategori warga emas dan kemungkinan mempunyai faktor komorbid yang meningkatkan risiko jangkitan.

5. Tidak semua individu yang hadir di Parlimen telah mendapat vaksinasi COVID-19 yang lengkap.

Faktor persekitaran Parlimen

1. Keadaan dewan Parlimen yang bertutup meningkatkan risiko penularan jangkitan memandangkan virus SARS-CoV-2 tersebar/menular melalui udara dan boleh kekal dalam persekitaran selama beberapa jam (rujukan New England Journal of Medicine, WHO, CDC Atlanta).

2. Tempoh berada dalam Dewan dan sekitar Parlimen yang panjang memberi risiko pendedahan berulang.

3. Perkongsian kemudahan asas seperti tandas, surau, kafe dan sebagainya oleh ramai individu termasuk kes.

4. Penjarakan fizikal dalam Dewan kurang dari satu (1) meter antara satu sama lain walaupun terdapat penghadang meja.

5. Perkumpulan kecil kerap berlaku di dalam dan di luar dewan.

Mengambilkira hasil penilaian risiko semasa dan bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19 dari berlaku di Parlimen, maka KKM telah mencadangkan agar semua sesi mesyuarat termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen serta pembentangan yang dirancang di Parlimen atau yang melibatkan individu yang berada di Parlimen pada 26 Julai sehingga 29 Julai 2021 ditangguhkan sementara waktu untuk tempoh dua (2) minggu bermula dari 29 Julai 2021. Penilaian risiko kejadian jangkitan COVID-19 di Parlimen akan dinilai semula dari semasa ke semasa.

Semua individu yang berada di Parlimen pada 26 Julai sehingga 29 Julai 2021 dinasihatkan untuk memantau status kesihatan secara kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera. Sekiranya mengalami gejala, sila jalani pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran dengan tempat tinggal masing-masing.

Kerjasama semua yang terlibat dipohon agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan demi memastikan penularan jangkitan dapat diputuskan. Kesihatan dan keselamatan semua menjadi tanggungjawab kita bersama.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

1 Ogos 2021 @ 6:30PM

(Visited 56 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button