NasionalParlimen

SPRM digesa siasat buku “Mari Kenali Sawit” bernilai RM4 juta

KEMENTERIAN Perladangan dan Komoditi (MPIC) digesa menjalankan audit terhadap percetakan buku ‘Mari Kenali Sawit’ untuk versi sekolah menengah dan rendah yang dilihat menelan belanja besar dan “tidak masuk akal”.

Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Seputeh, Teresa Kok berkata, sebanyak 210,060 buku versi sekolah rendah dan 62,475 buku versi sekolah menengah telah dicetak dengan masing-masing berharga RM13.30 dan RM19.30 seunit dengan belanja hampir RM4 juta.

“Yang Berhormat tahu kos percetakan, sebab dalam PRU kita memang buat percetakan untuk publisiti. Bagaimana buku macam ini boleh berharga RM13.30 dan RM19.30.

“Menteri perlu buat siasatan dan audit untuk projek ini. Adakah buku-buku ini dihantar ke semua sekolah seluruh negara?

“Adakah buku ini dihantar ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh negara,” soal Kok ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, perkara tersebut amat serius kerana ia melibatkan peruntukan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) iaitu dana daripada pemain industri yang juga pekebun kecil.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, memetik laporan FMT, Teresa yang juga bekas menteri MPIC menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap perkara tersebut.

“Itu sebab saya bangkitkan di dewan tadi. Menteri perlu siasat dan umumkan kepada semua dan juga mungkin SPRM perlu masuk, adakah ini berasas,” katanya.

Tambah Kok lagi, beliau juga telah bertemu dengan pengusaha percetakan di Kuala Lumpur bagi mendapatkan kepastian berhubung kos sebenar untuk mencetak buku-buku tersebut.

“Saya pernah semak harga syarikat percetakan. Sebenarnya percetakan macam ini kurang daripada RM3,” katanya.

Pada 6 April tahun lalu, Zuraida Kamaruddin yang merupakan menteri MPIC ketika itu berkata, sejumlah 300,000 naskah buku ‘Mari Kenali Sawit’ akan diedarkan di sekolah rendah dan menengah kerajaan serta swasta terpilih seluruh negara dalam usaha kerajaan memberi pendedahan berhubung kelapa sawit kepada pelajar.

Zuraida berkata, buku itu mengandungi fakta berkenaan dengan kelapa sawit dan kepentingan serta sumbangan industri komoditi itu kepada pembangunan sosio-ekonomi dan pendapatan negara.

Dalam pada itu, Kok turut mempersoalkan jumlah peruntukan Kempen Anti Minyak Sawit yang dikurangkan daripada RM20 juta kepada RM10 juta dalam belanjawan yang diumumkan baru-baru ini.

“Dengan pengurangan ini, bagaimanakah Malaysia hendak melawan NGO dan mereka yang anti minyak sawit ini?

“Memandangkan sumbangan industri sawit yang besar kepada Malaysia, ia sekurang-kurangnya patut ditambah RM30 juta,” katanya. – SM

 

(Visited 217 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button