Parlimen

Salah kira undi belah bahagi: Speaker tunggu nasihat undang-undang

YANG Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun sedang menunggu nasihat undang-undang berkaitan insiden Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya melakukan kesilapan dalam pengiraan undi belah bahagi.

Azhar berkata, beliau akan mengambil tindakan yang sewajarnya berkaitan kesilapan yang berlaku mengikut Peraturan Parlimen.

“Telah terima usul tersebut pagi tadi dan sedang menunggu penasihat undang-undang dan saya akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” kata Azhar ringkas ketika sesi Dewan Rakyat hari ini.

Azhar menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil mengenai usul yang telah dihantar beliau kepada Azhar.

Usul Usul Peraturan 36(12) itu meminta agar Ahli Parlimen Tasek Gelugur dirujuk kepada Jawatan Kuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana kesilapan yang dilakukan.

Semalam Dewan Rakyat kecoh selepas Ahli Parlimen diberitahu berlaku kesilapan dalam pengiraan undian belah bahagi untuk peruntukan Kementerian Kewangan pada Isnin.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon dimaklumkan Shabudin Yahaya (BN) yang beliau tersilap memasukkan seorang Ahli Parlimen Umno dalam senarai menyokong peruntukan kementerian itu di peringkat jawatankuasa.

Shabudin sudah memaklumkan speaker yang beliau tersilap memasukkan nama Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) yang tiada dalam dewan ketika undian itu diadakan, ke dalam senarai itu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen pembangkang berkata, ini tidak patut berlaku kerana kerajaan Perikatan Nasional hanya mempunyai majoriti 2 Ahli Parlimen dan menuntut undian diadakan semula.

Shabudin yang diminta memberi penjelasan berkata, beliau tidak berniat menipu Dewan Rakyat dan sudah memohon maaf kepada speaker.

“Semasa membuat pengiraan undi, saya pada beberapa minit sebelum itu ada melihat Padang Rengas, cuma semasa undi berkenaan itu Padang Rengas mungkin tiada di situ.

“Saya tidak pasti sehinggalah diadukan tiada. Saya tiada niat untuk menipu atau melakukan sesuatu perkara yang bercanggah dengan peraturan Dewan Rakyat,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurut Shabudin yang juga ketua penghitung blok C Dewan Rakyat, beliau juga telah membuat permohonan maaf kepada Azhar susulan kesilapan yang dilakukannya itu.-SM

(Visited 182 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button