ParlimenPolitik

Covid-19: Makluman mengenai SOP Parlimen diketahui esok

AHLI Parlimen dijangka akan mengetahui makluman mengenai prosedur operasi standard (SOP) dan perancangan Parlimen sekiranya berlaku penularan Koronavirus (Covid-19) di sana.

Perancangan tersebut akan diketahui esok apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan Parlimen akan ditutup jika berlaku penularan wabak Covid-19 dalam kalangan Anggota dan kakitangan Parlimen.

Makluman yang disampaikan oleh Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman dalam Dewan Rakyat hari ini menimbulkan persoalan megnenai pembentangan Belanjawan 2021.

Oleh demikian, satu perancangan perlu dilaksanakan bagi memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan dapat dibentang seperti dijadualkan.

“Kita akan tahu esok, saya difahamkan hari ini, ketua-ketua Whip telah mengadakan pertemuan dengan Speaker.


“Pertemuan itu adalah untuk menetapkan SOP bagi pembentangan bajet pada hari Jumaat. Insya Allah, pukul 4 petang.

“Saya belum dimaklumkan apa keputusan perbincangan itu tetapi saya percaya. Pada esok akan ada keputusan dan pemakluman daripada Speaker.”

Kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini berhubung status persidangan Dewan Rakyat dan Belanjawan 2021.

Terdahulu, Azhar Harun memaklumkan penutupan Parlimen jika berlaku penularan Covid-19 adalah berdasarkan SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagaimanapun, beliau memaklumkan sebarang perkembangan semasa akan diberitahu menerusi notis berkenaan Covid-19 di Parlimen.

Justeru, beliau menasihatkan kakitangan dan Ahli Parlimen menghadkan pergerakan di luar Parlimen serta mengelak daripada menghadiri majlis di tempat sesak.

Persepsi agenda politik

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR memaklumkan tidak menolak jika wujud persepsi kewujudan agenda bermotif politik jika berlaku penutupan.

Ini kerana, kemungkinan terdapat dakwaan mengatakan pentutupan Parlimen akibat Covid-19 adalah satu tindakan untuk melewatkan atau mengganggu pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2021.

Justeru, beliau yakin satu perancangan kontigensi turut akan dimaklumkan jika terdapat sebahagian atau penutupan keseluruhan bangunan Parlimen.

“Saya rasa mungkin akan ada persepsi seperti itu dan isunya sudah pasti sekiranya berlaku keadaan itu (penutupan Parlimen) apakah kontigensi ataupun perancangan yang ada.

“Saya harap, sekiranya berlaku pun penutupan sebahagian ataupun keseluruhan Parlimen, maka akan ada kontigensi perancangan sementara untuk memastikan Dewan Rakyat dapat terus dilaksanakan.

Dewan Rakyat sementara

“Contoh, sekiranya melibatkan persidangan Dewan Rakyat, sebagai contoh boleh dipindahkan sementera ke bangunan sementara.

“Kami ada bangunan sementara yang dahulunya digunakan sebagai Dewan Rakyat sementara Dewan Rakyat yang asal dilakukan renovation (pengubahsuaian).

“Sebagai contoh, boleh dilakukan di situ. Jadi saya lihat ada beberapa langkah yang boleh dilakukan tetapi belum lagi dimaklumkan.

“Yang penting persidangan dapat diteruskan dan tidak ada halangan untuk Ahli-Ahli Parlimen mengadakan mesyuarat Dewan Rakyat,” ujarnya. – SM

(Visited 59 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button