Nasional

Pencapaian task force projek perumahan swasta sakit, terbengkalai

KEMENTERIAN Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah berjaya mencapai perubahan signifikan dalam  menangani projek perumahan swasta yang bermasalah melalui penubuhan dan pengoperasian Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) sejak tujuh (7) bulan yang lalu.

Pendekatan dan penetapan terma rujukan / term of reference (TOR) yang berfokus iaitu tracking, resolve, preventive dan forward modelling telah digunakan bagi memastikan matlamat penubuhan task force ini tercapai.

Sidang media bulanan juga turut diadakan bagi mengumumkan statistik pelaporan data projek perumahan swasta yang bermasalah iaitu mengikut kategori lewat, sakit dan terbengkalai sebagai salah satu usaha meningkatkan ketelusan (transparency). TFST juga melalui elemen tracking telah berjaya melaporkan dalam bentuk nilai ekonomi iaitu Gross Development Value (GDV) bagi keseluruhan projek perumahan swasta tersebut.

Untuk statistik terkini, mesyuarat TFST Bil. 7 tahun 2023 yang telah diadakan pada 26 Julai 2023 telah mengesahkan sebanyak 108 projek lewat dan 459 projek sakit manakala terdapat 114 projek disahkan terbengkalai, dengan pertambahan dua lagi projek berbanding bulan sebelumnya.

Dua projek tersebut adalah :

(i) Projek Desa Rhu Redang, Marang, Terengganu
(ii) Projek Desa Salam, Marang, Terengganu

Semua projek lewat, sakit dan terbengkalai yang terkini membawa nilai pembangunan kasar (gross development value, GDV) sebanyak RM80.25 bilion.

Sepanjang tempoh ini, TFST telah mula melaksanakan beberapa kaedah resolve yang telah dikenalpasti tertumpu terhadap penyelesaian legasi projek sakit dan terbengkalai berdasarkan punca terhadap projek perumahan swasta tersebut bermasalah. Di antara langkah-langkah yang diambil adalah:

(i) Pemantauan melalui turun padang bagi projek perumahan yang bermasalah;

(ii) Libat urus bersama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan agensi-agensi
teknikal seperti Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim
(NRECC), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Tenaga Nasional
Berhad (TNB), Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP), Indah Water
Konsortium Berhad (IWK) dan agensi teknikal air.

(iii) Task Force akan melakukan perjumpaan bersama Bank Negara Malaysia
(BNM) dan institusi pembiayaan seperti Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia
(ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM),
Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) serta bank-bank.

Peratusan projek perumahan swasta lewat dan sakit yang berjaya dipulihkan sehingga kembali lancar dan menerima Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance – CCC) bagi tempoh Januari 2023 hingga Jun 2023 adalah sebanyak 178 projek (20,926 unit rumah) dengan nilai GDV sebanyak RM16.75 billion.

Manakala TFST berjaya memulihkan sebanyak 5 projek terbengkalai (962 unit rumah) dengan nilai GDV sebanyak RM441.84 juta. Secara keseluruhannya sebanyak 183 projek (21,888 unit rumah) telah berjaya dipulihkan
dengan nilai GDV sebanyak 17.19 billion.

Dalam masa sama, KPKT melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) juga memberi fokus terhadap penyelesaian projek sakit bagi SPNB melalui Langkah Penstrukturan Projek Sakit SPNB.

Melalui Langkah ini, tiga projek sakit SPNB yang sedang dalam pembinaan akan dibatalkan dan tidak akan diteruskan, menjadikan baki bilangan projek sakit SPNB sebanyak tujuh projek, berbanding sepuluh projek sakit dari legasi terdahulu. Tiga projek tersebut adalah:

(i) Projek Perumahan Makmur Karak Setia, Bentong, Pahang
(ii) Residensi Lanar, Seremban, Negeri Sembilan
(iii) Taman Nusa Idaman, Kuala Ping, Terengganu (Fasa 1 & 2)

Langkah yang diambil ini mampu memberi ruang kepada SPNB memberi fokus menyiapkan tujuh projek sakit yang berbaki dengan sasaran penyiapan pada sukuan pertama tahun 2024.

Bagi suku ketiga dan keempat tahun 2023, KPKT akan meneruskan usaha dan gerak kerja di bawah TFST dengan mengenalpasti langkah-langkah preventive projek sakit dan lewat melalui penambahbaikan sistem pemantauan yang lebih efektif.

Ini bertujuan untuk memastikan kawalan pencegahan boleh dilaksanakan di peringkat awal kelulusan projek perumahan tersebut selain memperkenalkan kaedah kawalan semasa permohonan lesen pemajuan, permit iklan dan jualan oleh pemaju. Kaedah pemulihan projek perumahan swasta juga boleh dilaksanakan melalui pelantikan pelikuidasi/ pemaju/ kontraktor penyelamat untuk pemulihan projek tersebut.

Seterusnya TFST akan memperkenalkan beberapa cadangan baharu di bawah elemen Forward Modelling dan perkara ini akan diperhalusi dan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

KPKT melalui TFST komited meneruskan agenda nasional dalam membantu  pemulihan projek-projek perumahan swasta yang bermasalah sama ada dalam kategori lewat, sakit atau terbengkalai bagi memastikan kepentingan pembeli rumah terpelihara seterusnya mengurangkan beban rakyat. – SM

(Visited 150 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button