Ekonomi

VFive Group perkasakan inisiatif kebajikan, sasar sumbangan RM25 juta tahun ini

SYARIKAT milikan penuh Bumiputera, VFive Group akan terus rancak memperkasakan program-program berkonsepkan kebajikan dengan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi membantu lebih ramai golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik di seluruh negara.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas VFive Group, Datuk Haji Mohd Syafiq bin Haji Abdullah pada majlis jamuan makan malam tahunan VFive Group, di Sime Darby Convention Centre di Kuala Lumpur baru-baru ini, yang turut mengundang pelbagai pertubuhan serta wakil yang turut menerima sumbangan dan menjadi rutin tahunan syarikat berkenaan.

Mengulas mengenai peruntukan sumbangan yang diletakkan, beliau berkata aspek keberkatan dan sumbangan kebajikan sememangnya sudah menjadi teras terpenting dalam pembangunan syarikat VFive Group selama ini.

“Kita meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa sesungguhnya janji Allah itu pasti, sekiranya lebih banyak kita memberi, maka lebih banyak rezeki yang akan dikurniakan oleh-Nya. Sebab itu lah kita letakkan fokus sumbangan ini sebagai salah satu daripada 10 KPI yang kita ingin capai pada tahun 2023”, katanya.

“Melalui saluran kebajikan yang kita telah tubuhkan iaitu Yayasan VFive, kita telah berjaya menyalurkan sumbangan sebanyak RM8 juta pada tahun 2022. Pada tahun ini, kita sasarkan untuk lipatgandakan lagi sumbangan kita kepada RM25 juta’, ujarnya lagi.

Inisiatif-inisiatif yang akan diperluaskan lagi menerusi Yayasan VFive termasuklah Program Kembara Beras Amal, Berkat Jumaat, Gerobok Rezeki, Sumbangan Bakul Makanan dan pelbagai lagi program pembangunan modal insan komuniti untuk mereka yang kurang berkemampuan.

Majlis yang dianjurkan secara gilang-gemilang tersebut secara asasnya bertujuan memberi penghargaan kepada semua pemegang taruh, pembekal dan juga para kakitangan yang telah bertungkus lumus memastikan segala sasaran yang ditetapkan pada tahun 2022 dapat dicapai.

Lebih istimewa lagi, majlis yang mengangkat slogan “Night of New Decade” itu juga sebagai simbolik meraikan satu dekad penubuhan VFive Group yang telah bermula sejak 2012 lagi.

“Kita berterima kasih dan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang setia menabur bakti dan mencurahkan jasa, baik secara langsung ataupun tidak langsung sepanjang 10 tahun perjalanan kami di dalam industri”, ulas beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas VFive Group, Datuk Haji Mohd Syafiq bin Haji Abdullah

“Diharapkan agar semua pihak dapat terus mendoakan kejayaan kami agar lebih banyak lagi manfaat dapat kami kongsikan bersama-sama kepada masyarkat”, tambahnya.

Kira-kira 500 hadirin menghadiri majlis itu yang turut diserikan dengan penampilan nyanyian khas oleh artis jemputan iaitu Fazli Zainal dan Datuk Amy Search, selain dimeriahkan dengan sesi cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah lumayan kepada para pemenang.

Artikel berkaitan > VFive Group angkat martabat jenama syarikat Bumiputera

(Visited 210 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button