Mahkamah

Empat lelaki didakwa 26 pertuduhan curi, lupus harta milik TM

Empat lelaki termasuk dua warga India dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan
Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas 26 pertuduhan mencuri,
menerima dan melupuskan kad rangkaian akses pelbagai perkhidmatan (MSAN) milik Telekom Malaysia (TM) berjumlah RM649,189.63.

Tertuduh terdiri daripada dua warga India, Dharmaraj Ramar, 34, Puviyarasan Arjunan, 25, bersama dua lelaki tempatan, Hiew Vee Looh, 42 dan Yeo Choon Leng, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan dibacakan dalam empat prosiding berasingan.

Di hadapan Majistret Khairunnisak Hasni, Vee Looh dan Choon Leng secara bersama didakwa telah mencuri 442 kad akses sistem di kabinet milik TM di lokasi berbeza sekitar Melaka Tengah antara 29 Disember 2023 hingga 7 Januari lalu.

Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Sementara itu Dharmaraj dan Puviyarasan yang diwakili peguam Muhammad Afiq Yahawa mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan dengan niat curang melupuskan harta syarikat TM.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai besi buruk di Capitol Indusrial Centre, Jalan Sungai Besi dalam daerah Cheras, Kuala Lumpur pada 4 Januari lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda di bawah Seksyen 414 dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Hakim Darmafikri Abu Adam, dua warga India itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan secara bersama menerima harta curi milik TM.

Perbuatan itu dilakukan pada 29 dan 31 Disember 2023 di alamat sama yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 413 kanun sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga didenda.

Sementara itu Majistret Khairunnisak membenarkan dua tertuduh warga tempatan diikat jamin RM97,000 setiap seorang bagi semua 15 pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Manakala Dharmaraj dan Puviyarasan yang dituduh mengikut Seksyen 414 masing-masing dibenarkan jaminan sebanyak RM37,000 selain syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri
setiap bulan di balai polis berhampiran.

Dalam pada itu Hakim Mohd Sabri dan Darmafikri tidak membenarkan jaminan kepada dua warga asing itu yang didakwa di bawah Seksyen 413 Kanun Keseksaan.

Kesemua prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Wardah Ishhar serta mahkamah menetapkan 5 Mac Depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen untuk kesemua tertuduh. – SM

(Visited 42 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button