MahkamahNasional

Lelaki mengamuk di tengah lebuh raya dirujuk ke Hospital Bahagia

MAHKAMAH Sesyen Kuala Kangsar, Perak, hari ini memerintahkan seorang lelaki yang sebelum ini mengamuk di Lebuhraya Utara Selatan di Kuala Kangsar dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk tempoh 30 hari bagi pemantauan dan pemeriksaan psikiatri.

Hakim Rohaida Ishak mengeluarkan perintah itu terhadap Zainordin Mohamed, 36, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Muhamad supaya tertuduh dihantar ke hospital berkenaan bagi pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Asmaniza berkata, Zainordin tidak berada dalam keadaan waras sewaktu tempoh penahanan remannya. Justeru dia perlu menjalani pemeriksaan di hospital tersebut.

Zainordin mengaku bersalah atas pertuduhan itu serta dua lagi pertuduhan.

Sewaktu pertuduhan dibacakan kepadanya, dia kelihatan bercakap seorang diri dalam keadaan tidak stabil dan diminta menenangkan diri.

Bagi pertuduhan pertama, Zainordin didakwa melakukan khianat iaitu menendang cermin sisi sebelah kanan sebuah kereta sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM200.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman boleh dipenjara tidak kurang setahun atau lebih lima tahun atau denda dan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Zainordin sebagai pemandu kereta Toyota Vios didakwa memberhentikan kenderaan itu di lorong kanan dalam kedudukan yang mungkin menyebabkan halangan kepada pengguna lain.

Pertuduhan mengikut Seksyen 48 (1) Akta Pengangkutan Jalan dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan tidak kurang setahun atau kedua-duanya.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di KM253 Lebuhraya Utara Selatan di Kuala Kangsar pada pukul 6.09 petang 12 Jun lepas.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memasukkan dadah jenis ganja THC (Tetra Hydrocannibol) pada dirinya di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Kangsar pada pukul 3.40 petang, 14 Jun lepas.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun.

Hakim menetapkan 14 Julai tarikh sebutan semula semua kes. – SM

 

(Visited 640 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button