Ekonomi

Cukai vape 40 sen per ml terlalu murah – Penyelidik

CADANGAN mengenakan cukai terhadap rokok elektronik atau vape sebanyak 40 sen bagi setiap mililiter (ml) cecairnya didakwa terlalu rendah berbanding tembakau.

Ini kerana, sektor tersebut sepatutnya memberikan pendapatan lebih besar kepada kerajaan selepas pasaran rokok elektronik diunjurkan lebih besar berbanding Amerika Syarikat (AS).

Malah perbandingan dengan negara jiran seperti Filipina dan Indonesia, kedua-duanya mengenakan kadar cukai yang tinggi terhadap penjualan cecair vape.

Seperti di Filipina, cukai yang dikenakan adalah sebanyak 0.76 sen Dolar AS (RM3.09) bagi setiap ml iaitu lebih tujuh kali ganda berbanding dicadangkan di negara ini.

Sementara di Indonesia pula, cecair vape dikenakan cukai sehingga 57 peratus atau empat kali ganda kadar eksais maksimum ke atas rokok tembakau biasa kecuali yang diisi dalam ‘pod’.


“Nilai cukai yang diusulkan untuk industri rokok elektronik  terlalu rendah daripada apa yang dikenakan ke atas industri tembakau.

“Pengenaan cukai merupakan langkah pertama yang penting dalam mengawal selia pertumbuhan industri rokok elektronik.

“Berikutan perbezaan ketara antara kedua-duanya (rokok elektronik dan tembakau), satu kajian yang teliti ke atas struktur cukai perlu dilakukan.

“Kita tidak boleh menggunakan satu ukuran atau struktur cukai sesuai untuk semua.”

Demikian satu kenyataan dikeluarkan sebuah syarikat penyelidikan dan teknologi, MQ Consultant, yang melakukan kaji selidik terhadap industri rokok elektronik di Malaysia.

Kenyataan tersebut mengulas kelulusan Parlimen dalam Belanjawan 2021 pada Khamis lalu yang turut menyentuh pengenaan cukai terhadap rokok elektronik.

Berdasarkan maklumat diperoleh syarikat tersebut, bancian terkini menunjukkan terdapat tiga (3) juta pengguna rokok elektronik di Malaysia pada masa ini.

Walaupun industri rokok elektronik di Malaysia diunjurkan bernilai berbilion ringgit, ia masih dianggap sebagai ‘black ekonomy’ yang berpotensi mengakibatkan kerugian yang besar kepada negara.

Berikutan meningkatnya pengguna rokok elektronik dan berkurangnya penghisap rokok tembakau, Kerajaan tidak seharusnya terlepas untuk memanfaatkan perubahan tabiat yang berlaku di seluruh dunia.

Dengan mengadakan peraturan percukaian, satu situasi yang menguntungkan semua pihak boleh diwujudkan.

Ia bukan hanya meningkatkan sumbangan kepada ekonomi negara tetapi juga membantu usaha Kerajaan dalam menambah baik kehidupan sosial dan kesihatan rakyat Malaysia dalam tempoh jangka panjang.

“Isu-isu berkaitan penggunaan rokok elektronik memerlukan kajian rapi dilakukan oleh pihak kerajaan.

“Cadangan cadangan untuk mengenakan cukai yang tinggi boleh dilihat sebagai satu langkah pencegahan yang baik, berbanding mengharamkan penggunaannya.

“Meskipun terdapat kes-kes negatif yang terpencil di seluruh dunia, para penyelidik kebanyakannya bersetuju bahawa penggunaan rokok elektronik merupakan pilihan yang lebih baik berbanding dengan rokok tembakau.

“Usaha ini bukanlah sekadar satu eksperimental semata-mata, kerana Kerajaan New Zealand sendiri telah berbuat demikian dalam usaha mencapai matlamatnya, menjadikan negara pulau itu bebas asap rokok pada tahun 2025,” jelasnya.

Dalam pada itu, MQ Consultantmenambah, melalui kajian dan maklumat yang sedang giat dikumpul di dalam dan luar negara.

Kerajaan Malaysia boleh menggunakan rokok elektronik sebagai alat ke arah mewujudkan masyarakat bebas asap rokok yang diakui memudaratkan perokok dan juga orang ramai. – SM

(Visited 387 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button