AgamaNasional

Ustaz Wadi Annuar beri kenyataan balas terhadap JAIPs, Jabatan Mufti Perlis

PENCERAMAH agama, Ustaz Wadi Annuar hari ini membuat kenyataan balas berhubung tuduhan dan kenyataan yang menggelirukan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Jabatan Mufti Perlis terhadap dirinya.

Kenyataan media bertarikh 1 April 2023 itu dibuat atas nama Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub yang ditandatanganinya.

Beliau menjelaskan mengenai kehadirannya pada pukul lebih kurang 9.45 malam, 30 Mac dalam program “Solat Terawih dan Sembang Santai bersama Ustaz Wadi Annuar” di Markaz Tarbiyah PAS Kawasan Kangar, Kampung Abi Padang Machang, Kangar, Perlis.

“Saya dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa program ini bukanlah majlis penggajian agama dan ia hanya program sembang santai bersama masyarakat setempat yang melibatkan beberapa soalan berkaitan perkembangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) kelolaan saya, keadaan terkini ibadat umat Islam di Mekah dan Madinah dan beberapa isu kupasan isu semasa,” katanya.

“Maka saya menerima jemputan yang diadakan di premis persendirian tersebut yang tidak memerlukan tauliah agama negeri,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa sebelum ini tidak pernahpun dipelawa bagi mendapatkan permohonan tauliah melalui perjumpaannya dengan Exco Agama Islam Negeri Perlis seperti yang dinyatakan dalam sebahagian laporan akhbar.

“Saya juga belum pernah mengadakan perjumpaan dengan JAIPs sebelum ini seperti yang didakwa sesetengah pihak,” katanya lagi.

Wadi menjelaskan bahawa pada 29 Mac lalu beliau telah menerima surat perintah untuk hadir siasatan oleh JAIPs yang bertarikh pada 7 April 2023.

Disebabkan kekangan masa dan jadual program yang padat katanya, maka beliau sendiri yang memohon bagi mengubah tarikh hadir siasatan kepada 17 April 2023 dan telah diterima oleh pihak berkenaan.

“Saya juga menjunjung perintah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan tidak pernah mempersenda peraturan yang dititahkan Baginda,” katanya.

Beliau berharap, dengan kenyataan maklum balas ini dapat menjawab kekeliruan yang timbul pada malam tersebut dan memperbetulkan persepi negatif yang dilemparkan terhadapnya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sementara itu Suara Merdeka mendapatkan fakta lebih jelas berhubung undang-undang Syariah Perlis berkaitan tauliah ceramah.

Ia berdasarkan Enakmen 4 Tahun 1993 Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991 Bahagian 11 iaitu Seksyen 33 – Mengajar agama tanpa kebenaran. Di mana (1) Kecuali kepada keluarga rumahnya sahaja dan di tempat kediamannya sendiri, tiada seseorang boleh mengajar, menghurai, menerang atau melakukan apa-apa perbuatan yang boleh diertikan sebagai mengajar, menghurai atau menerangkan, sesuatu perkara yang berkaitan Agama Islam, tanpa kebenaran bertulis daripada Yang DiPertua.

(2) Sesiapa yang melanggar sub-seksyen (1) adalah bersalah atas satu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. – SM

(Visited 1,231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button