Rencah Hidup

Usahawan kosmetik dera anak angkat umur dua tahun

DUNIA akhir zaman! Sanggup mendera kanak-kanak berusia dua tahun dengan memukul kanak-kanak malang itu dengan kasut dan mencubit sehingga meninggalkan kesan hanya semata-mata mahu merakamkan visual.

Wartawan ASTRO Gempak, Fiza Kamarudin melaporkan, perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan oleh seorang individu yang merupakan seorang usahawan kosmetik yang tinggal di Petaling Jaya, Selangor pada 28 Februari lalu.

Menurut laporan wartawan berkenaan lagi, kanak-kanak yang didera itu adalah anak angkat kepada usahawan kosmetik berkenaan dan lokasi kejadian ialah di dalam sebuah bilik kasut di kediaman usahawan kosmetik itu.

Perbuatan usahawan kosmetik itu dibawa ke tengah oleh pembantu rumahnya yang bertindak membuat laporan polis.

Laporan polis bermotifkan dua iaitu melaporkan tentang perbuatan kejam suspek terhadap kanak-kanak dan laporan melindungi pembantu rumah itu kerana bimbang disabitkan dengan kesalahan mendera kanak-kanak.

Menurut cerita pembantu rumah usahawan kosmetik berkenaan, kejadian berlaku ketika usahawan kosmetik itu membuat rakaman video anak angkatnya yang sedang menangis.

Pembantu rumah itu mendakwa, dia disuruh oleh majikannya membawa anak angkat itu ke dalam bilik kasut sebelum mengarahkannya memukul kanak-kanak malang itu.

Kata pembantu rumah itu lagi, selepas dia enggan menurut arahan memukul kanak-kanak itu, majikannya sendiri yang memukul kanak-kanak itu dengan menggunakan kasut di bahagian badan mangsa dan mencubitnya sehingga meninggalkan kesan.

Perbuatan kejam majikannya itu telah membuatkan pembantu rumah yang berusia 34 tahun itu bertindak membuat laporan polis.

Memetik laporan Harian Metro yang disiarkan dalam penulisan wartawan ASTRO Gempak, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Beliau berkata, keterangan daripada semua saksi dan suspek telahpun diambil dan kertas siasatan berhubung kejadian dijangka siap minggu ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. – SM

(Visited 356 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button