Politik

Belanjawan: Saya buat keputusan sebagai Ketua Pembangkang – Anwar

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku meminta Setiauasaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu supaya tidak melakukan undi belah bahagi dalam Belanjawan 2021 semalam.

Anwar berkata, beliau berbuat demikian atas kapasitinya sebagai Ketua Pembangkang dan Pengerusi Pakatan Harapan.

“Walaupun rakan-rakan khususnya Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu merasakan perlu dibuat undi belah bahagi pada waktu itu, saya telah membuat keputusan sebagai Ketua Pembangkang serta Pengerusi Pakatan Harapan untuk meminta ketua-ketua whip parti pembangkang tidak berbuat demikian.

“Ini supaya Ahli-Ahli Parlimen dapat meneliti secara terperinci dan mendalam keseluruhan pengumuman Menteri Kewangan,” kata Anwar dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar berkata, ahli-ahli Parlimen berhak mempersoal peruntukan-peruntukan tambahan yang telah diumum oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Rahman dalam Pengulungan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam.


Menurutnya, dalam sejarah perjalanan Parlimen Malaysia belum pernah suatu belanjawan dipinda dengan jumlah atau dengan cara seperti semalam.

Beliau mendakwa, tindakan tersebut sebagai tanda kesediaan Perikatan Nasional melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa, termasuk melanggar duluan (precedent) Parlimen.

“Ahli-Ahli Parlimen berhak mempersoal apakah peruntukan-peruntukan ini adalah tambahan kepada yang telah diumum atau terhasil dari pemotongan mana-mana Kementerian lain, apakah jumlah sebenar Belanjawan, serta kesan terhadap situasi kewangan negara, selain isu golongan yang masih mendambakan bantuan seperti pemandu teksi, pengusaha kantin dan ramai lagi.

“Beberapa mekanisme termasuk berkenaan pengeluaran dana dari KWSP dan moratorium bank juga perlu diteliti.

“Peluang masih wujud untuk menyatakan pendirian tegas termasuk melalui undian belah bahagi di peringkat jawatankuasa dalam minggu-minggu akan datang,” kata Anwar.

Dalam pengundian di peringkat dasar semalam hanya 13 ahli Parlimen pembangkang menyokong cadangan Ahli Parlimen Pokok Sena (Amanah) Datuk Mahfuz Omar agar dilakukan undi belah bahagi.

Cadangan tersebut terpaksa ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizah Harun kerana cadangan itu memerlukan sokongan 15 ahli Parlimen.

Berikutan itu Belanjawan 2021 diluluskan pada peringkat dasar dengan undi suara majoriti ahli Parlimen, sekaligus penyokong-penyokong parti pembangkang mempersoalkan sikap ahli Parlimen terutama DAP dan PKR yang tidak menyokong cadangan Mahfuz Omar.

Perbahasan peringkat jawatankuasa bermula Isnin depan sehingga undian terakhir pada 15 Disember kelak.-SM

 

 

(Visited 65 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button