Politik

Najib bagi isyarat, PRU15 kalau tangguh lagi…

JIKA Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ditangguh lagi, Barisan Nasional (BN) bakal berdepan dengan risiko yang lebih besar. Itu kata Datuk Seri Najib Tun Razak yang mungkin juga merasa ‘letih’ dengan permainan angka iaitu tarikh bilakah PRU15 akan diadakan.

Teka-teki PRU15 berterusan dan tiada kata putus sehingga ke hari ini kerana ada dua kumpulan yang berbeza kehendak atau permintaan.

Satu kumpulan mahu PRU15 diadakan secepat mungkin manakala satu lagi kumpulan, mahu melambatkan seberapa boleh tarikh PRU diadakan.

Najib bagaimanapun tidak menyebut secara khusus, apakah risiko besar yang bakal dihadap oleh BN jika PRU15 ditangguhkan untuk tempoh lebih lama lagi.

Apakah risiko besar itu merujuk kepada kekalahan, wallahhuaklam.

Najib yang juga bekas perdana menteri mengakui beliau sendiri tidak pasti bilakah PRU15 akan diadakan tetapi beliau mahu berkongsi satu perkara.

“Untuk pertama kalinya saya nak mengaku kita (sepatutnya) buat PRU14 selepas Sukan SEA (2017).

“Jika kita adakan PRU selepas itu, barangkali BN menang besar tetapi desakan pihak tertentu kita tangguh.

“Apabila tangguh keadaan berubah,” katanya ketika berucap sempena Konvensyen BN sempena ulang tahun BN ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Untuk rekod, PRU14 diadakan pada 9 Mei 2018 setelah Parlimen dibubarkan pada 7 April 2018.

Pada pilihan raya itu, Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya menumbangkan kerajaan BN dengan majoriti mudah 113.

Parti Warisan pula menang lapan kerusi menjadikan keseluruhan 121 kerusi di Parlimen yang cukup untuk membentuk kerajaan baharu iaitu kerajaan PH yang memerintah selama 22 bulan.

Ia kekalahan bersejarah bagi UMNO dan BN sejak memegang tampuk kerajaan selepas kemerdekaan pada 1957.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan adalah antara individu yang lantang mendesak supaya kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan PRU15 selepas memorandum persefahaman (MoU) bersama pembangkang tamat pada Julai nanti.

Mereka mendakwa faktor selesa yang dirasai rakyat dengan kembalinya sokongan kepada BN susulan kemenangan dalam beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu diambil kesempatan oleh UMNO.

Sementara itu, Najib yang juga pengerusi Lembaga Penasihat BN berharap kepimpinan tertinggi parti sebaik-baiknya berunding bagi menentukan tarikh PRU15.

“Kita dah putuskan ‘Top 5’ Zahid, Tok Mat dan ketiga-tiga naib presiden berundinglah sebaik-baiknya.

“Pastikan kita bantu perdana menteri untuk buat keputusan tepat, pilihan tepat kerana risikonya terlalu tinggi.

“Ini bukan soal Najib, soal Zahid, soal Ismail Sabri. Ini soal masa depan negara. Buatlah keputusan tepat dan bijaksana. Jangan kita fikir pasal hal diri tetapi fikirlah masa depan parti dan negara,” katanya. – SM

(Visited 408 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button