Politik

Putrajaya-PWTC berdamai, Ismail Sabri jadi poster boy, gendang perang dipalu

DUA keputusan penting diputuskan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, menunjukkan kelompok pemimpin Putrajaya dan PWTC telah berdamai.

Mesyuarat berkenaan hari ini memutuskan sebulat suara bersetuju supaya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Selain itu turut diputuskan ialah satu mesyuarat khas akan dilaksanakan bagi meminda tarikh pemilihan UMNO yang sepatutnya berlangsung pada Disember.

Pada masa yang sama perjanjian persefahaman dengan pembangkang tamat pada 31 Julai ini tidak akan disambung.

Ini jelas menunjukkan UMNO telah memalu gendang perang terlebih awal.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat MKT yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di pejabat UMNO.

Ahmad berkata, mesyuarat berkenaan juga membuat ketetapan mengenai kedudukan perjanjian persefahaman antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir pada 31 Julai depan tidak akan disambung.

“Pembentangan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti mesti diteruskan dan disokong tanpa kompromi dengan gesaan mana-mana pihak yang cuba menggagalkan mahupun cubaan untuk merubah maksudnya kepada bentuk perundangan lain.

“UMNO berpendirian bahawa akta berkenaan mesti segera direalisasikan sebagai manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihormati,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, bagi melaksanakan keputusan sebulat suara usul Perhimpunan Agung 2021, satu Perhimpunan Agung Khas akan diadakan pada 14 Mei depan bagi melakukan pindaan Perlembagaan UMNO mengenai tempoh pemilihan parti.

Beliau berkata, pada hari sama juga akan diadakan sambutan Hari Raya UMNO dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri.

Melihat situasi semasa pilihan raya umum akan diadakan sebaik tamat tempoh perjanjian damai, manakala pemilihan parti akan berlangsung enam bulan selepas itu.

Sebelum ini kelompok Putrajaya yang terdiri daripada pemimpin UMNO yang memegang jawatan menteri mahukan pemilihan parti diadakan sebelum pilihan raya.

Atas alasan bagi membersihkan parti daripada kluster mahkamah, tetapi hal itu tidak diterima akar umbi, kerana ia dikhuatir lebih kepada kepentingan peribadi yang dikhuatiri tidak calonkan pada pilihan raya akan datang kerana dilihat lebih akrab dengan parti asing berbanding UMNO sendiri.

Akar umbi telah membuktikan bahawa mereka tetap bersama dengan kelompok PWTC pada pilihan raya negeri Melaka dan Johor yang memberi kemenangan besar kepada UMNO serta Barisan Nasional.

Namun menyedari hakikat bahawa sentimen pilihan raya umum berbeza pilihan raya negeri, akhirnya MKT memutuskan Ismail Sabri sebagai poster boy.

Keputusan ini melegakan Tim Ismail Sabri, tetapi ia masih diragui melihatkan bagaimana layanan presiden UMNO terhadap Ismail Sabri semasa di Johor tempoh hari.

UMNO sendiri terasa kesannya serangan ke atas kluster mahkamah oleh pihak lawan pada dua pilihan raya negeri yang menyaksikan undi popular terhadap parti itu mulai merosot dan kemenangan adalah disumbang oleh undi penyokong tegar.

Blok pembangkang pula dijangka bergabung di bawah payung besar yang sedang giatkan oleh para pemimpin Pas.

Beberapa pemimpin Pas dilaporkan bergerak mengadakan pertemuan bagi menjalinkan semula hubungan yang berkecai dek Langkah Sheraton yang menyebabkan Pakatan Harapan tumbang selepas memerintah 22 bulan setelah memenangi pilihan raya pada 2018.

Perikatan Nasional dibentuk dan memerintah sehingga hari ini hasil gabungan Bersatu, UMNO, dan beberapa buah parti lain.

Apakah payung besar mampu dibentuk oleh pembangkang ia belum jelas dan ini memberi kelebihan kepada UMNO serta Barisan Nasional.

(Visited 622 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button