Politik

UMNO tidak perlu buat pemutihan – Isham Jalil

AHLI Majlis Tertinggi UMNO Isham Jalil berpendapat, tidak perlu buat pemutihan ke atas ahli UMNO. Beliau berkata, mereka bukannya perlu diputihkan (dibuang) oleh sebab mereka mengundi (atau disyaki mengundi) parti lain.

“Jika kita putihkan (buang) mereka, tinggal berapa kerat sahaja ahli dan penyokong kita di akar umbi. Mereka akan lebih marah dan benci kepada UMNO dan akan jadi penyokong tegar parti lawan. Ini yang parti lawan kita mahu.

“Sebaliknya kita perlu cari dan akui sebab dan punca mengapa penyokong-penyokong tegar kita yang selama ini menyokong UMNO kini protes dan menyokong parti lawan. Dan punca dan sebab ini perlu ditangani segera,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Beliau berkata, jika dahulu penyokong-penyokong tegar kita menjadi perayu undi kepada penyokong atas pagar, beliau lihat kini perayu-perayu undi pun sudah hilang kepercayaan dan perlu diyakinkan.

“Kita perlu yakinkan mereka dengan kebenaran dan keikhlasan, bukannya retorik dan spin politik. Penyokong tegar kita sudah lama dalam politik, mereka tahu menilai.

“Daripada “memutihkan” atau membuang mereka, kita perlu meyakinkan mereka semula berkenaan halatuju dan perjuangan kita,” jelas beliau.

Isham berkata, beliau melihat mereka mahu lihat perubahan yang drastik bukan hanya retorik.

“Jika kita kekal dalam sindrom penafian, kita tidak akan berubah. Jika kita tidak berubah di saat getir ini, kita akan tamat sebab kita tidak sedar diri walaupun kita sudahpun rebah.

“Jika kita tidak berubah, lawan kita akan bertepuk tangan sehingga ke PRU-16, ini yang mereka mahu, iaitu UMNO hancur di tangan diri sendiri.

“Untuk bangun kita perlu ikhlas dan jujur dengan diri sendiri dan merubah keadaan. Dan kita perlu ada keberanian untuk membawa perubahan ini,” katanya. -SM

(Visited 221 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button