Politik

Barang kawalan: Kerajaan PN perlu teruskan dasar PH

KERAJAAN pimpinan Perikatan Nasional perlu meneruskan dasar yang dilaksanakan oleh Pakatan Harapan ketika mentadbir negara.

Menurut Majlis Setiausaha Pakatan Harapan, salah satu perkara asas yang perlu diteruskan PN adalah mengawal bukan sahaja jumlah barangan kawalan yang lebih banyak tetapi juga jumlah hari kawalan.

Majlis itu berkata, PN seharusnya menggunakan kejayaan PH mengawal kenaikan harga barang sepanjang 22 bulan mentadbir sebagai kayu ukur dan meneruskan dasar-dasar yang menjaga kemaslahatan dan kebajikan rakyat.

“Majlis Setiausaha Pakatan Harapan masih memandang serius isu kenaikan harga barang makanan dalam hari-hari sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.

“Kelihatan Kerajaan Perikatan Nasional khususnya Menteri dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna lambat bertindak dan tidak berjaya mengawal kenaikan harga barang dengan memuaskan,” kata Majlis Majlis Setiausaha Pakatan Harapan.

Menurut mereka, di bawah kerajaan PH sebanyak 27 jenis barangan dikenakan kawalan di berbanding hanya 11 di bawah PN dan PH menetapkan 30 hari kawalan berbanding 15 hari di bawah PN.

Perbezaan jumlah barang dan hari kawalan memberi kesan kepada harga barangan keperluan akibat permintaan tinggi khusus sekitar musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

“Pada ketika ramai hilang punca pendapatan malah juga pekerjaan dibeban pula dengan perbelanjaan besar menjelang Hari Raya, perkara yang paling diharap oleh rakyat adalah Kerajaan yang prihatin dan proaktif menyelesaikan masalah rakyat.

“Oleh itu, Majlis Setiausaha menggesa Kerajaan untuk meningkatkan jumlah barangan kawalan dan hari kawalan, serta segera melaksanakan apa-apa lagi langkah yang patut untuk menurunkan harga barangan keperluan penting bagi Hari Raya Aidilfitri,” kata majlis tersebut.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan terdiri daripada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PKR), Chong Chieng Jen (DAP) dan Datuk Dr Hatta Ramli (Amanah).-SM

Tags

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis merupakan antara wartawan Utusan Malaysia dan Utusan Online yang terakhir berkhidmat sebelum Utusan Melayu (M) Berhad ditutup.

Related Articles

Back to top button
Close
Close