Politik

UMNO Kedah cadangkan Sambutan Hari Songkran dimasukkan Dalam Kalendar Tahunan Pelancongan Negeri Kedah

UMNO Kedah menggesa pentadbiran Kerajaan Negeri memasukkan   Hari Songkran yang disambut pada hari ini setiap tahun oleh masyarakat Siam ke dalam kalendar tahunan pelancongan negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sambutan Hari Songkran sememangnya mempunyai keunikan tersendiri yang boleh dijadikan daya tarikan pelancong.

“Kedah di bawah Kerajaan Barisan Nasional mengiktiraf sumbangan dan sokongan masyarakat Siam dalam kemajuan, pembangunan serta keamanan negeri Kedah khasnya dan negara Malaysia amnya.

Justeru, UMNO Kedah menggesa pentadbiran Kerajaan Negeri sekarang melihat kepada kepentingan sumbangan masyarakat Siam di negeri ini dari segi kepentingan eko-pelancongan menerusi budaya dan adat resam mereka iaitu sambutan Hari Songkran”, katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Jelas Mahdzir, sumbangan masyarakat Siam di negeri itu tidak boleh dipinggirkan sama sekali walaupun jumlahnya minoriti berbanding kaum lain.

Ini kerana masyarakat Siam yang berasimilasi di Kedah sejak sekian lama telah menjadikan negeri Kedah sangat unik khususnya menerusi pelbagai acara kebudayaan termasuk sambutan Hari Songkran.

Selain itu kata Mahdzir, sikap toleransi, muafakat dan kerjasama yang diamalkan oleh masyarakat Siam, telah mewujudkan jalinan kesatuan, perpaduan dan keamanan di negeri itu.

“Saya juga melihat sambutan Hari Songkran ini bukan sahaja boleh dijadikan acara tarikan pelancong di peringkat negeri Kedah, malah Kementerian Pelancongan boleh juga mempromosikannya.

Negara jiran kita Thailand meraih keuntungan sektor pelancongannya setiap tahun menerusi acara Songkran tersebut hingga menjadi acara yang ditunggu-tunggu oleh pelancong asing untuk berkunjung ke negara itu”.

Untuk rekod, Kedah mempunyai jumlah penduduk masyarakat Siam paling ramai di negara ini iaitu lebih 40 ribu orang.

Songkran yang terkenal sebagai festival air adalah sambutan Tahun Baru bagi masyarakat Siam khususnya di Thailand yang disambut selama tiga hari bermula 13 April setiap tahun. – SM

Artikel berkaitan > Mahdzir cadang guna gelaran Yang Berkhidmat, bukan lagi Yang Berhormat

 

(Visited 204 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button