Politik

MB Kedah kena faham kesan roboh kuil terhadap emosi penganut Hindu

MENTERI Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor digesa untuk memahami kesan perobohan kuil di negeri itu terhadap emosi penganut agama Hindu di negeri tersebut.

Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (Setiawangsa) Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan isu berkaitan rumah ibadat adalah isu sensitif yang boleh membangkitkan isu perkauman.

“Cuma, kita perlu ingat; isu-isu berkaitan rumah ibadat merupakan isu yang sensitif dan boleh membangkitkan isu perkauman.

“Selaku Menteri Besar, sepatutnya MB Kedah memahami kesan perobohan kuil ini terhadap emosi penganut Hindu.

“Selepas itu, beliau tanpa rasa segan silu menggunakan perumpamaan ‘minum todi’ ekoran bantahan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin MIC dan DAP terhadap isu perobohan kuil Hindu,” kata Nik Nazmi.

Beliau mendakwa sikap yang ditunjukan oleh Muhammad Sanusi tidak memberi imej seseorang yang memperjuangkan politik Islam. .

Nik Nazmi percaya rundingan yang teliti boleh diadakan dengan wakil kuil agar perobohan rumah ibadat penganut agama Hindu itu tidak kelihatan terlalu tergesa-gesa.

“Saya ambil maklum setiap rumah ibadat di Malaysia perlu mendapatkan permit dan kebenaran untuk dibina.

“Dalam isu perobohan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu Kuala Kedah, ini adalah hujah utama Menteri Besar Kedah.

“Saya percaya rundingan yang teliti boleh diadakan dengan wakil kuil, supaya perobohan ini tidak kelihatan terlalu tergesa-gesa,” kata Nik Nazmi.

Kuil Sri Raja Muniswarar yang dibina di atas tanah yang digazetkan sebagai kawasan lapang di Taman Bersatu Kuala Kedah dirobohkan Selasa lalu.

Selain kuil itu, sebuah dewan silat dan lima kawasan parkir turut dirobohkan untuk dibina gelanggang futsal.

Muhammad Sanusi berkata, kuil tersebut dirobohkan berlandaskan undang-undang bukan isu perkauman, agama atau diskriminasi.

Menurutnya, tataletak setiap binaan struktur di semua tempat sepatutnya berada pada tempatnya secara sah dan terkawal, menurut undang-undang dan pentadbiran bawah agensi kerajaan.

“Ia harus bermula sejak dulu lagi, bukan sekarang walaupun belum terlambat untuk melakukannya. Kekecohan yang diapi-apikan ini adalah risiko yang terpaksa kita hadapi untuk membina masa depan yang lebih tenteram dan harmoni.

“Jangan sampai kita bergaduh pada masa depan hanya kerana ‘mabuk todi populariti’ dan mahu menunjuk jaguh kaum pada masa sekarang,” katanya.-SM

(Visited 1,100 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button