Mahkamah

Prebet didenda RM2,400 ceroboh Rumah Panglima 3 Divisyen

Gara-gara menyamar dan menceroboh rumah Panglima 3 Divisyen Kem Terendak, Sungai Udang di sini seorang prebet tentera didenda RM2,400 Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Tertuduh, Muhammad Fikri Shaiff, 35, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan larangan rumah Panglima 3 Divisyen
seperti termaktub di bawah perintah tetap Markas Garisan Terendak.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau dengan denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum di bawah kanun sama.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati telah memakai uniform lengkap angkatan tentera berpangkat staf sarjan dengan niat ia mungkin dipercayai tergolong dalam jawatan berpangkat.

Ia menjadi kesalahan di bawah Seksyen 171 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM400 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pos Seri Setia Kem Terendak, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 6.09 pagi pada 14 November tahun lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang berpangkat staf sarjan tetapi telah dilucutkan jawatannya kerana tindakan disiplin.

Dia yang kini berpangkat prebet dalam proses diberhentikan kerja semasa kejadian berlaku.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya bagaimanapun memohon hukuman ringan kerana dalam proses dokumentasi untuk penamatan tugas selain perlu menjaga ibu yang sudah tua.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh didenda RM2,000 bagi pertuduhan pertama atau satu bulan penjara jika gagal bayar.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dikenakan denda RM400 atau jika tidak boleh dipenjara 10 hari. – SM

(Visited 36 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button