fbpx
Nasional

Tun M tawar diri jadi saksi kes 10 pengundi saman Azmin

AHLI Parlimen Langkawi Tun Dr. Mahathir Mohamad menawarkan diri untuk menjadi saksi kes pengundi saman Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Azmin Ali.

Bekas perdana menteri itu berkata, pernyataan tuntutan yang difailkan oleh plaintif terhadap Azmin adalah kenyataan yang sama beliau keluarkan berulang kali sebelum ini.

“Saya melihat keberanian rakyat mempersoal kredibiliti dan integriti seorang Ahli Parlimen seperti Dato’ Seri Azmin sebagai satu proses mematangkan pendemokrasian negara.

“Saya sedia menawarkan diri sebagai saksi di mahkamah sekiranya keterangan saya diperlukan,” kata Dr. Mahathir.

Menurut Dr. Mahathir, wakil rakyat atau ahli Parlimen harus faham bahawa Rakyat memilih mereka sebagai wakil untuk bersuara di Parlimen dan memimpin.


Pelantikan mereka sebagai ahli Parlimen bukan untuk kepentingan diri dan mendapatkan jawatan serta kuasa.

Seramai 10 pengundi berdaftar dalam kawasan Parlimen Gombak memfailkan saman terhadap Menteri Kanan Hal Ehwal Ekonomi itu dengan dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari melalui ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang Februari lalu.

Kesemua mereka, selaku plaintif memfailkan saman itu melalui Tetuan Yohendra Nadarajan di Mahkamah Tinggi di sini pada 27 November lalu dengan menamakan Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri selaku defendan tunggal.

Kes itu ditetapkan Jumaat ini di hadapan Timbalan Pendaftar Maslinda Selamat.

Dalam penyataan tuntutan, kesemua plaintif berumur dari 36 hingga 64 tahun itu memohon perisytiharan antaranya Mohamed Azmin ialah pemegang amanah dan mempunyai tanggungjawab selaku Ahli Parlimen Gombak terhadap kawasan parlimennya termasuk 10 plaintif itu.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa Mohamed Azmin melanggar kewajipan fidusiari, menipu selain memungkiri representasi yang dibuat terhadap kesemua plaintif dalam pilihan raya kawasan berkenaan.

Menurut kesemua plaintif, representasi yang dibuat Mohamed Azmin itu adalah dengan menawarkan diri untuk bertanding pilihan raya 2018 untuk menyingkirkan kerajaan pada ketika itu iaitu Barisan Nasional (BN), dan pegawai awam yang korup.

Dakwa kesemua plaintif, Mohamed Azmin hanya mengetahui bahawa representasi diberikannya itu adalah palsu dan beliau hanya mahu mendapatkan undi serta tidak berusaha untuk memenuhi representasi berkenaan.

“Mahkamah merupakan forum paling sesuai untuk mengesahkan dakwaan-dakwaan oleh sepuluh Plaintif yang memfailkan tindakan ini,” kata Dr. Mahathir.-SM

 

(Visited 63 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button